Hajiji (kanan) bersama pelajar cemerlang yang menerima anugerah dalam Majlis Penyampaian Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-35 di SICC, Kota Kinabalu.
Hajiji (kanan) bersama pelajar cemerlang yang menerima anugerah dalam Majlis Penyampaian Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-35 di SICC, Kota Kinabalu.

Kerajaan Sabah iktiraf pelajar cemerlang menerusi pemberian biasiswa

06 Aug 2024 08:29pm

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah (BCNS) sebagai pengiktirafan yang berprestij daripada kerajaan Sabah untuk pelajar cemerlang di negeri ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berharap pelajar akan berusaha lebih gigih untuk mendapat kejayaan lebih cemerlang pada masa hadapan.

Menurut beliau, anugerah BCNS itu seiring dengan hasrat kerajaan negeri melalui Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) ingin melihat lebih ramai lagi modal insan yang mampu bersaing di persada global.

"KYS telah diamanahkan untuk menyediakan biasiswa cemerlang ini sejak tahun 1990 dan sehingga kini, seramai 755 pelajar telah menerima manfaat daripada program ini di mana sebanyak RM132.6 juta telah dibelanjakan sejak program ini dilaksanakan.

"Secara keseluruhannya, sejak tahun 1967 hingga 2023, KYS telah membelanjakan RM704.5 juta dalam pemberian biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pengajian tinggi yang mana telah memberi manfaat kepada 44,075 pelajar Sabah.

"Pada hari ini, seramai 88 pelajar menerima biasiswa kerajaan negeri iaitu Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah, Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah dan Anugerah MUIS," katanya sempena Majlis Penyampaian Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-35 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Selasa.

Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji turut berkata, pelaksanaan Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah (BCKNS) yang bermula sejak tahun 2022 adalah selaras dengan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) di mana ia akan meningkatkan taraf akademik anak Sabah.

"Sejak tahun 2022 hingga 2023, seramai 20 orang pelajar telah menerima manfaat daripada program ini dan sebanyak RM 1.04 juta telah dibelanjakan.

Artikel Berkaitan:

"Sementara itu, Anugerah MUIS yang bermula sejak tahun 2020 telah memberi manfaat kepada 50 pelajar sehingga tahun lalu," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp