No Image Caption

KPM bangunkan Sekolah Sukan Pendidikan Khas tahun 2025

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
21 Aug 2023 04:39pm

Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa memberi perhatian kepada Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) di negara ini termasuklah potensi dan bakat mereka dalam bidang sukan.

Terbaharu, kementerian itu sedang memperincikan jenis sukan yang sesuai dengan murid-murid berkenaan bagi silibus Sekolah Sukan Pendidikan Khas (SSPK) yang dijangka beroperasi menjelang 2025.

Ia kerana hanya sukan tertentu sahaja yang sesuai dan boleh diterapkan dalam silibus sekolah berkenaan khusus kepada MBPK.

“Kita sudah ada sekolah-sekolah khas untuk MBPK misalnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendidikan Khas Bumbong Lima dekat Pulau Pinang yang memberikan tumpuan terhadap kemahiran anak-anak ini.

“Insya-ALLAH pada tahun 2025 kita akan mengoperasikan sebuah sekolah sukan untuk mereka yang akan membangunkan potensi sukan, supaya mereka juga mendapat tumpuan dalam soal pembangunan sukan,” kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika perasmian Karnival Outreach Inklusif dan Kebolehpasaran Madani MBPK Negeri Johor 2023 di Aeon Dato Onn, Johor pada Ahad.

Menurut beliau, SSPK yang sedang dibangunkan dan terletak di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan itu bertujuan mencungkil potensi dan bakat golongan murid berkenaan dalam bidang sukan.

“Buat masa ini kita sedang perincikan kategori sukan, sebab anak-anak berkeperluan khas ini ada sukan tertentu. Kita akan maklumkan perkembangannya dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Fadhlina menambah, KPM bersama pelbagai agensi lain juga sedang meneroka bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk MBPK ini dan berharap lebih ramai pemain industri bersama-sama untuk memastikan bagaimana potensi mereka dapat digarap dalam konteks TVET.

Artikel Berkaitan:

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp