Sebahagian murid yang mengikuti program ToT di SK Pekan Kota Belud, baru-baru ini.
Sebahagian murid yang mengikuti program ToT di SK Pekan Kota Belud, baru-baru ini.

Pendedahan AMR kepada murid di Kota Belud

ASYIKIN ASMIN
21 Dec 2023 03:59pm
A
A
A

Seramai 20 murid dari dua buah sekolah rendah di Kota Belud, Sabah berpeluang mengikuti program Training of Trainers (ToT) oleh sekumpulan penyelidik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Program ToT berkaitan Antimicrobial Resistance (AMR) itu membabitkan penyertaan murid Tahun Empat hingga Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Kota Belud dan SK Piasau bertujuan melatih peserta menjadi pembimbing rakan sebaya bagi menyebarkan kesedaran AMR.

Selain itu, ia juga bagi meningkatkan pengetahuan dan amalan berkenaan AMR dalam kalangan murid-murid.

Menurut Guru Besar, SK Pekan Kota Belud, Rusdi Suin, ToT memberi pelbagai manfaat kepada murid dan juga warga pendidik.

"Seperti yang kita sedia maklum, AMR merupakan salah satu ancaman besar kepada negara. Pendedahan tentang AMR pada peringkat sekolah rendah memang wajar dilakukan.

“Justeru, kami dari pihak sekolah sentiasa mengalu-alukan penglibatan pihak universiti untuk program sebegini demi pembangunan anak watan,” ujarnya pada majlis perasmian ToT di sekolah tersebut.

No Image Caption

Sementara itu, Ketua Projek AMR, Dr Zulkhairul Naim Sidek Ahmad berkata, peningkatan AMR menjadi ancaman membimbangkan seluruh dunia termasuk Malaysia kerana ia mendatangkan penyakit sukar diubati sekali gus meningkatkan risiko morbiditi dan kematian.

Artikel Berkaitan:

"Kempen pendidikan awal berkenaan AMR amat membantu dalam mengurangkan penyebaran tersebut, bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya,” kata Ketua Jabatan Pendidikan Perubatan FPSK, UMS ini sekali gus merakam ucapan terima kasih kepada United States Agency for International Development- Southeast Asia One Health University Network (USAID-SEAOUN) kerana sudi menaja program berkenaan.

INFO

AMR merujuk kepada keupayaan mikroorganisma (organisma halus dilihat dengan mikroskop) seperti bakteria, virus, kulat dan parasit yang tidak bertindak balas terhadap rawatan antimikrob pada manusia dan haiwan sekali gus menjadi ancaman global terhadap kesihatan.

Punca utama yang menyumbang kepada krisis itu ialah penggunaan berlebihan dan penyalahgunaan antimikrobial, terutamanya penggunaan antibiotik yang tidak sesuai dan lain-lain.

Oleh itu, penggunaan antibiotik secara global dipantau dengan teliti pada setiap masa.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok