Fadhlina (tengah) bersama pelajar Tingkatan Enam yang menghadiri Himpunan Pewaris Generasi MADANI pada Ahad.
Fadhlina (tengah) bersama pelajar Tingkatan Enam yang menghadiri Himpunan Pewaris Generasi MADANI pada Ahad.

KPM beri pengetua kuasa autonomi dalam memilih pelajar ke Tingkatan 6

ROSHLAWATY MD RAIEH
24 Jul 2023 05:03pm
A
A
A

“Kemasukan pelajar ke Tingkatan Enam boleh dilakukan secara terus kepada pengetua sekolah tanpa perlu menunggu tawaran daripada Kementerian Pendidikan (KPM) seperti tahun sebelumnya,” kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Menurut beliau, KPM telah memberi kuasa autonomi kepada pengetua untuk menjalankan proses pengambilan pelajar, berkuat kuasa serta-merta.

Ujarnya, kuasa autonomi yang diberikan kepada pengetua merupakan antara usaha kerajaan dalam membantu melonggarkan syarat kemasukan ke peringkat pendidikan itu sekali gus mengurangkan isu keciciran pelajar.

“Sebelum ini permohonan tawaran untuk menyambung pengajian ke peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) adalah menerusi KPM, bagaimanapun dengan kuasa yang ada pengetua sudah boleh ambil pelajar yang layak ke Tingkatan Enam.

"Pengetua boleh cari siapa (pelajar) yang tidak ada tempat, peluang dan ruang sambung belajar untuk diambil pelajar itu masuk tanpa menunggu tawaran KPM,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Himpunan Pewaris Generasi MADANI di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), Kuala Terengganu, Terengganu pada Ahad.

Ujar Fadhlina lagi, pemberian autonomi itu juga memberi jaminan akses yang lebih luas bagi pelajar daripada golongan B40 untuk melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Enam.

Sementara itu, berkongsi mengenai penjenamaan semula dan menaik taraf Tingkatan Enam ke Kolej Pra-Universiti, Fadhlina berkata, ia memerlukan sedikit masa untuk dilihat secara keseluruhan dan diselesaikan.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, KPM berhasrat menjenamakan semula Kolej Tingkatan Enam yang menggambarkan imej baharu.

Antara hasrat kementerian itu adalah menjenamakan Tingkatan Enam kepada Kolej Pra-Universiti dan istilah sistem seperti murid kepada pelajar; guru kepada pensyarah; pengetua kepada pengarah dan guru penolong kanan kepada timbalan pengarah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok