Fadhlina
Fadhlina

KPM gigih sediakan program agar murid berkeperluan pendidikan khas tidak diabaikan

ROSHLAWATY MD RAIEH
16 Mar 2023 03:17pm
A
A
A

Bagi memenuhi keperluan pelajar kategori murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) di negara ini, Kementerian Pendidikan (KPM) berusaha gigih dalam memastikan semua institusi pendidikan menyediakan akses kepada murid berkenaan.

Menurut Menterinya, Fadhlina Sidek, setakat ini KPM menyediakan program komprehensif bagi memenuhi keperluan MBPK menerusi tiga pilihan persekolahan iaitu Sekolah Pendidikan Khas (SPK), Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) atau Program Pendidikan Inklusif (PPI).

Kata beliau, SPK merupakan sekolah khusus yang menyediakan pendidikan khas bagi MBPK pada semua peringkat persekolahan.

“PPKI adalah program pendidikan bagi MBPK yang hanya dihadiri oleh mereka di kelas khas di sekolah KPM.

“PPI pula program bagi MBPK yang dihadiri oleh mereka bersama-sama dengan murid lain dalam kelas yang sama di sekolah KPM,” ujarya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan lisan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Bandar Tun Razak) yang mahu kementerian jelaskan apakah langkah memastikan pendidikan berkeperluan khas dan kurang upaya, Special Educational Needs and Disabilities (SEND) diberi fokus dan sumber untuk membantu pelajar dalam menghadapi cabaran mendapatkan pendidikan berkualiti.

Mengulas lanjut mengenai perkara yang sama, Fadhlina berkata, KPM turut menyediakan peluang pembelajaran dalam aliran kemahiran bagi MBPK melalui beberapa pilihan persekolahan seperti di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV); Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendidikan Khas; Kolej Vokasional (KV) atau di PPKI.

“MBPK yang mengikuti pembelajaran di SMPKV akan mengikuti kurikulum Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan atau National Occupational Skills Standard (NOSS) yang dikeluarkan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dengan pengubahsuaian yang dilakukan guru semasa proses pengajaran dan pembelajaran.

Artikel Berkaitan:

“Di samping itu, mereka juga boleh mengikuti Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) di SMK Pendidikan Khas,” jelasnya dengan menambah PVMA adalah kursus aliran kemahiran yang membolehkan MBPK memperoleh Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Dalam pada itu, Fadhlina berkata, MBPK diberikan tiga kategori keistimewaan pelanjutan tempoh persekolahan iaitu

1) Tidak lebih daripada dua tahun di sekolah rendah

2) Tidak lebih daripada dua tahun di sekolah menengah

3) Setahun di sekolah rendah dan setahun di sekolah menengah

Bagi MBPK yang mengikuti pendidikan vokasional di SMPKV pula, tempoh persekolahan mereka boleh dilanjutkan setahun lagi.

“Semua MBPK layak menduduki peperiksaan awam yang dikendalikan KPM seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Malah selaras dengan adanya kurikulum khusus bagi MBPK, KPM juga menyediakan Pentaksiran Alternatif Sekolah Menengah supaya MBPK yang tamat persekolahan mempunyai bukti pencapaian mereka melalui Sijil Alternatif Sekolah Menengah,” ulas Fadhlina lagi.

Fadhlina turut menjelaskan, KPM juga menyediakan Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK) yang berperanan sebagai pusat menyediakan perkhidmatan sokongan merangkumi saringan, penilaian, intervensi dan konsultasi kepada MBPK dan kanak-kanak yang mempunyai ciri-ciri berkeperluan khas berumur empat tahun dan ke atas.

“Selain itu, 3PK turut menyediakan khidmat nasihat dalam aspek peralatan sokongan yang bersesuaian mengikut keperluan MBPK berkaitan.

“Pusat ini juga memberi perkhidmatan sokongan kepada ibu bapa, penjaga, guru dan warga sekolah berkaitan pendidikan khas.

“Perkhidmatan sokongan yang disediakan di 3PK diberikan oleh pegawai mengikut bidang pengkhususan seperti audiologi, terapi pertuturan bahasa, terapi cara kerja, fisioterapi, psikologi klinikal, psikologi pendidikan dan intervensi pembelajaran,” ujar Fadhlina.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok