Fadhlina
Fadhlina

KPM guna ePKM kumpul status pelajar selepas tamat Tingkatan 5

ROSHLAWATY MD RAIEH
23 Mar 2023 09:10am
A
A
A

Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa cakna dalam melaksanakan pengesanan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bertujuan mengumpul status pelajar selepas tamat persekolahan Tingkatan Lima.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, KPM telah menggunakan sistem eProfil Kerjaya Murid (ePKM) bagi mengumpul status pelajar yang berkaitan.

Katanya, sehingga 2 Februari lalu seramai 50.3 peratus pelajar sedang menyambung pengajian di pelbagai institusi dan 30.8 peratus yang bekerja bagi lepasan SPM 2021, menurut sistem ePKM.

Ujar Fadhlina, Pentaksiran Psikometrik yang dilaksanakan oleh KPM melalui Pentaksiran Berasaskan Sekolah juga dapat membantu guru mengenal pasti kecenderungan, kebolehan, potensi, personaliti, bakat dan membimbing pelajar tentang kecenderungan memilih kerjaya serta kemahiran dominan dalam menentukan hala tuju kerjaya selepas tamat persekolahan.

Fadhlina berkata demikian di Dewan Negara pada Selasa bagi menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Azam Hamzah yang bertanyakan apakah langkah diambil KPM dalam mengatasi masalah kekurangan pekerja berkemahiran dan berpengetahuan di masa akan datang.

Menurut Ahmad Azam ia susulan 72 peratus daripada pelajar lepasan SPM tidak mahu menyambung pengajian lebih tinggi kerana lebih cenderung kepada ekonomi gig.

Sementara itu, KPM turut mengambil pelbagai langkah untuk memberi pendedahan kepada pelajar berhubung laluan kerjaya dan pendidikan selepas tamat Tingkatan 5 seperti sesi bimbingan yang berfokus untuk memberikan maklumat terkini dan bersesuaian dengan kebolehan serta potensi murid.

“KPM juga menggalakkan pelajar menyertai bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET).

Artikel Berkaitan:

“Saya menyambut saranan daripada Timbalan Menteri sebentar tadi dan ingin nyatakan di peringkat KPM mempunyai kebolehpasaran sebanyak 98 peratus dalam tempoh tiga tahun terkini bagi lulusan TVET,” ujarnya.

Sambung Fadhlina, KPM turut mengadakan pelbagai ceramah motivasi, bengkel kemahiran belajar, kursus pemantapan jati diri, pameran dan karnival pendidikan kerjaya dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“KPM juga mempunyai perkongsian hala tuju kerjaya melalui alumni sekolah; mengadakan hari kerjaya di sekolah; mengadakan jaringan dan jalinan dengan agensi kerajaan serta agensi-agensi bukan kerajaan yang membantu mencari peluang pekerjaan,” jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok