KPM sedia garis panduan hadapi banjir ketika SPM
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah bersedia dengan garis panduan terutamanya berhubung persiapan terhadap kemungkinan bencana banjir ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang dijadualkan berlangsung mulai 5 Disember ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, segala persiapan kini berjalan dengan sangat baik bagi memastikan calon-calon tidak terkesan dengan bencana alam itu.
Malah menurut Fadhlina, pihaknya yakin persiapan menghadapi peperiksaan terbesar itu berjalan lancar walaupun berlangsung ketika musim Monsun Timur Laut.
“Kita sudah ada garis panduan dan juga persiapan, pemindahan dan sebagainya sekiranya berlaku banjir.
“Sepertimana tahun lepas, apabila ada peperiksaan yang terpaksa dihentikan kerana terputus perjalanan dan sebagainya, jadi perlu peperiksaan ulangan.
“Itu semua telah disiapkan dalam garis panduan dan persiapan, kita doakan calon berjaya serta dapat menjawab dengan tenang dan baik, insya-ALLAH,” katanya.
Fadhlina berkata demikian pada sidang akhbar sempena aksi final Liga Piala KPM-FAM 2023 yang menyaksikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Desa Skudai yang merupakan skuad Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) bawah 17 tahun, menewaskan SMK Syed Hassan dari Kangar, Perlis, 1-0, di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, pada Sabtu.
Untuk rekod, sebanyak 5,063 sekolah telah diwartakan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menghadapi bencana banjir yang diramalkan berlaku sepanjang Monsun Timur Laut.
Bagaimanapun, sesi persekolahan di sekolah-sekolah yang dijadikan PPS akan tetap berjalan seperti biasa.