KPM umum tarikh penting bayaran petugas dan pemeriksa SPM 2022
“Pembayaran Tuntutan Ikhtisas (IKH) dan Tuntutan Perjalanan (TNT) bagi petugas dan pemeriksa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2022 akan diselesaikan segera.” Demikian kata Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan menerusi platform media sosial Facebook pada Ahad.
Menurut kenyataan itu, tuntutan yang melibatkan seramai 131,318 petugas peperiksaan dan 29,421 pemeriksa peperiksaan akan diselesaikan sepenuhnya selewat-lewatnya pada 31 Julai depan.
“Sehingga 23 Jun lalu, pembayaran IKH dan TNT telah selesai 100 peratus di sembilan buah negeri manakala IKH pemeriksa peperiksaan pula telah selesai 98 peratus.
“KPM komited memastikan pembayaran tuntutan petugas dan pemeriksa peperiksaan SPM 2022 diselesaikan segera,” ujarnya.
KPM mengucapkan terima kasih dan menghargai sumbangan setiap petugas dan pemeriksa peperiksaan dalam memastikan SPM 2022 berjalan lancar.
INFO
Lantikan petugas peperiksaan SPM 2022 dibuat oleh Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) berdasarkan ketetapan Lembaga Peperiksaan (LP).
Pembayaran bagi IKH dan TNT bagi semua petugas peperiksaan adalah diuruskan dan dibayar oleh JPN masing-masing mengunakan peruntukan yang telah diturunkan oleh LP kepada JPN.