Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok.

Kredit foto: BERNAMA
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok. Kredit foto: BERNAMA

KPT akan tambah baik dasar pendidikan tinggi bagi jayakan kerangka ekonomi Madani

AZLEENDA SAHALUDIN
14 Aug 2023 05:40pm
A
A
A

Dasar pendidikan tinggi sedia ada akan ditambah baik dan diselaraskan semula bagi memastikan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dapat memainkan peranannya sebagai ‘faktor kritikal’ dalam menjayakan kerangka Ekonomi Madani.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini termasuk memastikan dasar itu memberi tumpuan kepada soal penyediaan bakat, penyelidikan dan inovasi, menggalakkan pemindahan dan perkongsian ilmu oleh universiti kepada masyarakat serta pengantarabangsaan sektor pendidikan.

Tambahnya, dalam aspek penyediaan bakat, menjadi tanggungjawab kementerian untuk melatih dan melahirkan seramai mungkin bakat terbaik untuk negara, sama ada berpendidikan atau berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan pelabur dan masyarakat yang mahukan pekerjaan baik serta gaji lebih tinggi.

“Soal penyelidikan dan inovasi pula, kita harus memastikan ekonomi adalah berasaskan penyelidikan yang melahirkan pengetahuan dan inovasi.

“Ini tidak boleh dielakkan dalam usaha kita hendak meletakkan Malaysia dalam kedudukan ekonomi serantau dan global.

“Selain itu, pemindahan dan perkongsian ilmu dari univerisiti kepada masyarakat juga penting kerana kita dapati banyak ilmu yang boleh diterokai untuk mengupayakan masyarakat bagi mengatasi isu kemiskinan dan sebagainya,” tuturnya ketika menjadi tetamu program Naratif Khas Ekonomi MADANI Pendidikan Tinggi yang disiarkan secara langsung di TV1, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Tutur beliau lagi, dalam menjayakan kerangka ekonomi tersebut, hubungan universiti dengan masyarakat tidak boleh lagi berkisar kepada soal libat urus sahaja sebaliknya harus bersedia bekerjasama dalam mewujudkan program bimbingan yang berterusan bagi meningkatkan status dan kualiti ekonomi, sosial masyarakat.

Pada masa sama, beliau menjelaskan, penekanan harus diberikan kepada soal pengantarabangsaan kerana KPT mahu Malaysia diangkat sebagai hab bakat dan kemahiran bertaraf global yang memberi pulangan kepada ekonomi negara.

“Untuk makluman, kita kini mempunyai 20 universiti awam, 403 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan semua ini menawarkan kepelbagaian program kepada pelajar-pelajar luar negara.

“Oleh itu, kalau lihat rekod sahaja, tahun lepas kita mempunyai seramai 109,000 pelajar antarabangsa dan kalau mengambil kira seorang pelajar itu membelanjakan kira-kira RM45,000 setahun untuk yuran pengajian, makan dan gaya hidup maka ia sebenarnya menyumbang RM9.4 bilion kepada ekonomi negara,” katanya.

Ekonomi Madani, kerangka ekonomi yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Julai lalu bertujuan mengangkat semula ekonomi Malaysia, membawa limpahan hasil bagi membolehkan rakyat menikmati kehidupan lebih berkualiti.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pengumuman ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’ adalah satu rencana menyeluruh bagi Malaysia menghadapi pelbagai cabaran dan isu-isu berkaitan daya saing dan tarikan negara sebagai destinasi pelaburan serta menggariskan tindakan bagi menangani isu-isu semasa yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok