KARANGKRAF-BUKU-SINARNESTARI-2023 (7)
KARANGKRAF-BUKU-SINARNESTARI-2023 (7)

Kumpulan Karangkraf, JPN Selangor jalin kerjasama melestari pendidikan

nadzarul.amir
13 Jan 2023 04:54pm
A
A
A

Kumpulan Karangkraf dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor menjalin kerjasama dalam melestari pendidikan di negeri berkenaan.

Pengarah JPN Selangor, Rohayati Abd Hamed berkata, sebagai permulaan Kumpulan Karangkraf menyalurkan koleksi bahan bacaan pelbagai genre di Pusat Sumber Sekolah (PSS) khusus kepada sekolah-sekolah baharu.

Beliau menambah, usahasama berkenaan telah lama ingin direalisasikan dan ia menjadi sebahagian daripada fungsi ataupun tanggungjawab kepada Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan.

“Ia berikutan Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan merupakan penghubung antara pihak sekolah atau jabatan dengan badan ataupun institusi berkenaan dengan penerbitan buku-buku.

“Pada masa yang sama, sektor ini juga terlibat dalam pendidikan berasaskan teknologi sama ada pengkomputeran, perisian dan sebagainya,” katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Sumbangan Buku Kumpulan Karangkraf di PSS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Saujana Putra, Jenjarom, Kuala Langat, Selangor.

Dari kiri:- Mohammad Nuri; Azman; Nik Justin; Rohayati; Azhar dan Hashim pada Majlis Penyerahan Sumbangan Buku Kumpulan Karangkraf di SMK Bandar Saujana Putra, Jenjarom, Kuala Langat, Selangor.Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan JPN Selangor, Mohammad Nuri Hussin; Ketua Jabatan Pemasaran Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin; Pengurus Kanan Tugas-tugas Khas Kumpulan Karangkraf, Hashim Merana Anang; Pegawai Pendidikan Daerah Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Langat, Azhar A. Kadir; Pengarang Eksekutif Lifestyle Sinar Harian, Meen Tahrin; Pengarang Sinar Bestari, Mariatul Qatiah Zakaria dan Pengetua SMK Bandar Saujana Putra, Azman Sharif.

SMK Bandar Saujana Putra merupakan sekolah baharu yang mula beroperasi pada 21 Mac tahun lalu dan menempatkan 1,046 orang murid daripada Tingkatan Satu hingga Empat.

Sekolah berkenaan mempunyai 53 guru dengan dilengkapi 30 bilik darjah, sembilan buah makmal sains, tujuh buah bilik-bilik khas dan sembilan buah bengkel.

Rohayati menambah, terdapat dua lagi sekolah baharu yang akan memperoleh bahan bacaan dari Kumpulan Karangkraf dalam masa terdekat.

Memanah antara aktiviti menarik pada Majlis Penyerahan Sumbangan Buku Kumpulan Karangkraf di PSS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Saujana Putra, Jenjarom, Kuala Langat, Selangor.Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Justeru, pihaknya berharap kerjasama berkenaan dapat dipanjangkan melalui pendekatan bahan bacaan digital.

“Ia sangat menarik apabila kerjasama seterusnya adalah dalam pembekalan bahan-bahan digital untuk para pelajar.

“Bahan digital terbahagi kepada banyak bentuk termasuk grafik, nyanyian, gambar dan sebagainya,” ujarnya lanjut.

Aktiviti Goal Daily mencuri tumpuan pada Majlis Penyerahan Sumbangan Buku Kumpulan Karangkraf di PSS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Saujana Putra, Jenjarom, Kuala Langat, Selangor.Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Katanya, para pelajar dapat akses bahan-bahan digital tersebut dengan menggunakan peranti seperti telefon pintar, tablet ataupun komputer riba.

“Bagaimanapun, bahan-bahan digital ini perlu mempunyai garis panduan agar tidak menyentuh sensitiviti keagamaan, melibatkan aktiviti pergaduhan ganas dan sebagainya.

“Generasi hari ini juga lebih celik kepada teknologi terkini malah mampu menterjemah kreativiti jika diberi ruang dan peluang,” katanya.

Nik Justin.Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Dalam pada itu, Nik Justin berkata, Kumpulan Karangkraf bukan sahaja ingin menyumbang buku tetapi gerak kerja dalam berkongsi pengalaman, teknologi dan bakat-bakat.

“Ekosistem pendidikan sudah banyak berubah dengan generasi baharu memiliki pemikiran kreatif malah kemahiran tinggi.

“Guru mengajar dan mereka boleh mempelajari daripada para murid terutama melibatkan teknologi terkini,” tuturnya.

Artikel berkaitan

Pelajar boleh dapatkan buku serendah RM 1 di Jualan Gudang Karangkraf

Sinar Bestari lancar kempen #GenerasiMahirBerilmu

Transformasi Pusat Sumber KEMAS Pasir Salak pupuk sifat anak muda minat membaca


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok