sw
sw

Sinar Bestari lancar kempen #GenerasiMahirBerilmu

Norliza Wasilan
17 Oct 2022 09:12am
A
A
A

Kesinambungan kejayaan Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari (ASSSB) 2021/2022

Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari (ASSSB) 2021/2022 sudah melabuhkan tirainya dengan acara penuh gilang-gemilang baru-baru ini.

Lima sekolah diumumkan sebagai penerima anugerah berdasarkan kategori dipertandingkan dengan membawa pulang hadiah wang tunai, trofi dan sijil penyertaan.

Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Wan Kemara, Changlun, Kedah dinobatkan sebagai pemenang kategori Sekolah Rendah Bandar, manakala SK Chopin, Parit, Perak untuk Sekolah Rendah Luar Bandar.

Bagi kategori Sekolah Menengah Bandar pula, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki, Kuala Lumpur diumumkan sebagai pemenang, manakala SMK Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor untuk Sekolah Menengah Luar Bandar.

Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM10,000, trofi dan sijil penyertaan.

Bagi Anugerah Khas Juri pula, SK Pos Dipang, Kampar, Perak diumumkan sebagai pemenang dengan membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi dan sijil penyertaan.

Anugerah anjuran Sinar Bestari itu mendapat tajaan Bank Rakyat sebagai usaha mengiktiraf kejayaan sekolah bandar dan luar bandar di negara ini yang menepati ciri-ciri S.M.A.R.T (Skil, Mahir, Atribut, Relevan dan Teknologi).

Farah Hussamuddin.

Lancar kempen

Berikutan kejayaan ASSSB itu, Sinar Bestari turut melancarkan kempen #GenerasiMahirBerilmu untuk dilaksanakan pada tahun depan dengan membawa pendekatan jelajah atau turun padang ke sekolah yang menghantar penyertaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin berkata, pendekatan itu diambil bagi membolehkan sesi perkongsian kemahiran dan pengetahuan dilakukan, sekali gus melahirkan generasi berilmu.

“Oleh kerana sambutan (ASSSB) amat menggalakkan dan kami sendiri pun tidak menjangkakan, jadi tahun depan kita akan lebih agresif selepas mendapat sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Bank Rakyat.

“Kita akan pergi ke sekolah dan menekankan aspek untuk melahirkan generasi mahir. Itu kita punya hashtag untuk tahun depan,” ujarnya yang ditemui selepas Majlis Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari (ASSSB) 2021/2022 di Shah Alam, Selangor.

Turun padang

Ujar Farah, dengan adanya kebenaran daripada KPM, usaha untuk mendekati sekolah menjadi lebih mudah.

“Sebelum ini kita ada kekangan tidak boleh ke sekolah disebabkan Covid-19 yang melanda negara pada ketika itu.

“Kini dengan adanya green light (lampu hijau) daripada KPM, kami berharap dapat turun padang dan mengadakan roadshow sebelum anugerah ini dianjurkan lagi pada tahun depan,” tambah beliau.

Mengulas mengenai ASSSB, ujar Farah, program tersebut adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sinar Karangkraf sebagai sebuah badan korporat untuk mengiktiraf kejayaan dan pencapaian sekolah sepanjang tahun 2021/2022.

Sedia bekerjasama

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani berkata, kerjasama yang sedia terjalin antara kedua-dua belah pihak dapat diteruskan selepas ini.

Beliau berkata, untuk program akan datang, pihaknya berharap Bank Rakyat tidak hanya sekadar menjadi penaja, sebaliknya lebih aktif dalam menjayakannya.

“Pada pandangan saya, kami tidak melihat sebagai penaja saja. Rasanya tahun depan kami mahu turut serta.

“Daripada situ, kesinambungan akan berterusan dan Insya-ALLAH kami akan tengok dahulu kertas cadangan yang disediakan nanti,” ujarnya.

 

Nizam Sani.

Nizam berkata, inisiatif yang dilaksanakan Sinar Bestari itu perlu diteruskan pada tahun-tahun akan datang memandangkan era digital kini semakin pesat dan pelajar perlu didedahkan kepada teknologi tersebut.

“Era digital ini sesuatu yang kita perlu hadapi. Jadi adalah lebih baik jika ia dimulakan daripada peringkat awal (terutama pelajar sekolah).

“Bagi Bank Rakyat, ini satu inisiatif yang bagus dalam usaha memupuk pendedahan anak-anak dengan pelbagai aktiviti yang dianjurkan dalam platform digital,” ujarnya.

Azman Adnan.

Pada pandangan saya, inisiatif untuk menganjurkan Anugerah Sekolah S.M.A.R.T Sinar Bestari (ASSSB) adalah sangat baik. Ini kerana pendidikan bukan milik KPM sahaja tetapi milik masyarakat dan boleh juga datang daripada pelbagai pihak termasuk industri serta korporat.

Pastinya ramai dalam komuniti kita sudah melihatnya sebagai suatu yang sangat penting dan masing-masing menyumbang untuk memastikan kualiti pendidikan dapat ditingkatkan.” - Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan (KPM), Azman Adnan.

Saadon Nayan.

Program ini memberi motivasi kepada guru khususnya warga sekolah secara keseluruhan untuk meningkatkan prestasi. Ia merupakan suatu pengiktirafan bahawa penat lelah guru selama ini bersama murid-murid dihargai.

Jadi, program seperti ini sepatutnya diuar-uarkan dan dikembang lagi supaya lebih banyak penyertaan.” - Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Saadon Nayan.

 

Soo Wincci.

Ini merupakan suntikan baharu untuk pelajar dan guru di negara ini. Pada masa sama ia umpama cahaya atau lilin kepada kita sebagai pendidik di mana pembaharuan dalam pendidikan bermula sejak di sekolah rendah.

Saya nampak Sinar Bestari banyak inisiatif yang kreatif dan inovatif dalam bidang pendidikan. Bagi saya semuanya berada di landasan yang betul dan membawa negara menjadi lebih bersinar.” - Pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Selangor, Profesor Madya Dr Soo Wincci.

Cikgu Zack Kirana.

Satu perkara yang saya rasakan luar biasa apabila ada penghargaan untuk sekolah-sekolah luar bandar.

Saya ucapkan tahniah kepada Sinar Bestari kerana program ini boleh menjadi pencetus kepada anugerah pendidikan yang lain.

Saya bangga dengan pencapaian sama ada sekolah luar bandar ataupun sekolah bandar sebab bagi saya era sekarang ini elakkan daripada menjadi katak di bawah tempurung.” - Pempengaruh media sosial, Cikgu Zack Kirana.

Artikel berkaitan

Meriah! SK Chopin bawa rombongan sekolah raikan kemenangan dalam ASSSB

5 sekolah bertuah diumumkan pemenang ASSSB

Persembahan Gamelan Putra Warisan, ‘choral speaking’, rai kedatangan tetamu kehormat ASSSB


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok