Gambar hiasan-Kredit Unsplash
Gambar hiasan-Kredit Unsplash

Mahasiswa berpotensi jadi peneraju utama agenda Madani

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAMNADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
02 Mar 2023 12:01pm

Golongan mahasiswa akan menjadi peneraju kepada konsep Malaysia Madani sekiranya dididik dengan menerapkan elemen Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial (JERIS).

Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, saban tahun puluhan ribu graduan dikeluarkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) dan merupakan aset penting untuk memacu pembangunan serta kecemerlangan negara.

Beliau berkata, antara agenda Malaysia Madani ialah menumpukan kepada penyelesaian masalah, memenuhi keperluan semasa negara dan menyentuh pencorakan masa depan.

“Malaysia Madani yang mengetengahkan tonggak dasar yang diacu berteraskan enam rukun iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan mampu memperkasa mahasiswa seterusnya memanusiakan manusia.

 Mohammad Shatar.
Mohammad Shatar.

“Justeru, tempoh pengajian mereka perlu dimanfaatkan untuk menyuntik 'roh pendidikan' yang berteraskan madani.

Artikel Berkaitan:

“Bagi merealisasikan perkara ini, kita mengharapkan pensyarah di IPT memainkan peranan penting supaya pelajar benar-benar menghayati JERIS dan agenda madani dapat dijayakan seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Mohammad Shatar menambah, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sering mengingatkan penerapan konsep Madani dalam kalangan warganya.

Katanya, kita ingin generasi mahasiswa yang dilahirkan dapat melonjakkan imej Malaysia sebagai negara yang berintegriti dan bersih seperti dihasratkan oleh kepemimpinan negara.

“MQA akan terus komited dalam menjaga kualiti pendidikan tinggi supaya semua agenda yang direncanakan dapat dijayakan dan mahasiswa bukan sekadar mempunyai kelayakan akademik tetapi ciri-ciri madani.

“Tidak hairan, satu hari nanti negara luar akan merujuk negara ini kerana bukan sekadar hebat dalam akademik tetapi dalam konteks JERIS yang bertunjangkan Madani,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp