Juara Liga PLD National Football Development Program (NFDP) Bawah 17 Tahun peringkat kebangsaan.
Juara Liga PLD National Football Development Program (NFDP) Bawah 17 Tahun peringkat kebangsaan.

Ubah impian jadi kenyataan

Hajat Mohd Ridzuwan agar anak didiknya mampu jadi pemain bola sepak profesional

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
08 Jan 2024 10:54am

“Saya mahu mereka jadi pemain bola sepak yang profesional dan cemerlang dalam pelajaran.” Itu adalah harapan Ketua Jurulatih Pusat Latihan Daerah (PLD) Seberang Perai Tengah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Perahu, Cikgu Mohd Ridzuwan Dahie kepada Sinar Bestari.

Beliau yang juga merupakan tenaga pengajar di SMK Guar Perahu, Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu mengakui amat mengidamkan anak-anak didiknya berjaya menjadi sebahagian daripada skuad kebangsaan Harimau Malaya nanti.

“Jika ada rezeki, saya teringin saksikan anak-anak didik dari PLD Seberang Perai Tengah SMK Guar Perahu ini menyarung jersi Harimau Malaya suatu hari nanti,” kongsinya kepada wartawan baru-baru ini.

Mohd Ridzuwan, 37, berkata, impian untuk melihat pelajarnya bermain dengan skuad kebangsaan bukanlah sekadar mimpi semata-mata.

“Akan tiba masanya mereka berada sebaris dengan para pemain lain dalam pasukan Malaysia.

“Keyakinan tinggi diberikan kepada mereka apabila melihatkan pelbagai pencapaian diraih oleh kumpulan pemain muda ini sehinggakan ramai melahirkan rasa terkejut dengan anugerah dicapai,” ujar anak kelahiran Pulau Pinang berkenaan.

Cikgu Mohd Ridzuwan
Cikgu Mohd Ridzuwan

Untuk rekod, anugerah dan pencapaian peringkat kebangsaan 2023 yang dicapai PLD Seberang Perai Tengah SMK Guar Perahu termasuk Juara Liga PLD National Football Development Program (NFDP) Bawah 17 Tahun, Naib Juara Kejohanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM) Bawah 18 Tahun, Juara Kejohanan NFDP Penang Series Bawah 17 Tahun dan Juara Kejohanan Bola Sepak Piala YB Exco Pembangunan Koperasi Bawah 17 Tahun.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Ridzuwan berkata, SMK Guar Perahu merupakan sekolah yang terkenal di Pulau Pinang terutama dalam pencapaian sukan bola sepak.

Sehingga kini, ia telah melahirkan ramai pemain berkaliber antaranya pemain legenda, Asmawi Hassan dan Azzmi Ab Aziz yang berjaya dalam bidang berkenaan.

Kongsi beliau, seramai 70 pelajar SMK Guar Perahu sedang dilatih dan dicungkil bakat mereka ketika ini untuk memiliki kemahiran teknikal yang hebat sekali gus menjadi pemain bola sepak terbaik sepanjang zaman.


Mohd Ridzuwan (kiri) bersama Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen (tiga dari kiri) serta wakil PIBG bergambar dengan koleksi kemenangan sepanjang 2023 PLD Seberang Perai Tengah SMK Guar Perahu.
Mohd Ridzuwan (kiri) bersama Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen (tiga dari kiri) serta wakil PIBG bergambar dengan koleksi kemenangan sepanjang 2023 PLD Seberang Perai Tengah SMK Guar Perahu.

“Saya kagum dengan mereka yang tidak pernah kenal erti penat dan lelah. Biarpun latihan demi latihan dijalankan, para pemain tetap teruja dan bersemangat.

“Ibu bapa dan penjaga juga sentiasa beri sokongan dan komitmen yang terbaik kepada anak-anak.

“Mereka serah 100 peratus kepada kami di barisan jurulatih untuk menjadikan anak masing-masing sebagai pemain bola sepak profesional kelak,” ujar anak pasangan Dahie Musa dan Rohani Nordin ini.

Kemenjadian murid

Menurut Mohd Ridzuwan, apa yang dilakukan sejak tahun 2010 hingga kini dalam arena bola sepak bukanlah sekadar menggalas tugas dan tanggungjawab sahaja.

Sebaliknya, beliau mahu setiap anak-anak pelajarnya mampu menjadi ‘seseorang’ apabila tamat persekolahan di SMK Guar Perahu.

“Kemenjadian murid, ini yang saya selalu tekankan apabila ada yang bertanyakan kerja buat saya di sekolah.

“Bila pelajar (pemain bola sepak) berupaya mencapai potensi diri dalam penguasaan pengetahuan dan pelbagai kemahiran bola sepak, saya gembira dan seronok.

“Sekurang-kurangnya, mereka menjadi manusia berjaya selepas tamat belajar sekali gus bergelar pemain bola sepak paling hebat di negara ini,” ujarnya yang pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).


Mohd Ridzuwan (kiri) akan pastikan setiap ilmu dan kepakarannya dalam sukan bola sepak dicurahkan kepada para pemainnya.
Mohd Ridzuwan (kiri) akan pastikan setiap ilmu dan kepakarannya dalam sukan bola sepak dicurahkan kepada para pemainnya.

Akhir sekali, Mohd Ridzuwan menitipkan nasihat bermanfaat kepada para pelajar yang begitu meminati dunia bola sepak.

“Jangan lupakan tanggungjawab dalam bidang akademik. Ia perlu diberi keutamaan walaupun anda berbakat dalam sukan bola sepak.

“Kepada pemain, jaga disiplin dalam latihan dan pertandingan untuk mencapai prestasi yang konsisten. Selain itu, amalkan pemakanan seimbang untuk memastikan tenaga dan kecergasan mencukupi.

“Paling penting, sentiasa kekal rendah hati dan hormati rakan sepasukan serta lawan,” tuturnya yang menjadikan dua jurulatih berprofil tinggi, Jose Mourinho dan Pep Guardiola sebagai idola.


KENANGAN MANIS... Sewaktu menjuarai Kejohanan NFDP Penang Series Bawah 17 Tahun.
KENANGAN MANIS... Sewaktu menjuarai Kejohanan NFDP Penang Series Bawah 17 Tahun.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp