Pasukan Malaysia meraikan kemenangan mereka dalam WCOPA ke-27 baru-baru ini.
Pasukan Malaysia meraikan kemenangan mereka dalam WCOPA ke-27 baru-baru ini.

Malaysia raih 37 pingat di WCOPA ke-27

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
10 Jul 2024 03:56pm
A
A
A

World Championships of Performing Arts (WCOPA) ke-27 menyaksikan pasukan Malaysia berjaya membawa pulang 37 pingat daripada 70 pertandingan yang disertai.

Berlangsung di Long Beach Performing Arts Center, California, Amerika Syarikat, 37 pingat yang diraih Malaysia merangkumi 13 pingat emas, 11 perak, 13 gangsa serta kemenangan lain iaitu 11 juara bahagian dan satu biasiswa belajar di New York Film Academy.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, WCOPA ke-27 mempertandingkan beberapa kategori iaitu vokal, tarian, muzik, peragaan dan lakonan yang melibatkan penyertaan peringkat junior (5 hingga 15 tahun) dan senior (16 tahun ke atas).

Katanya, kehebatan pasukan Malaysia telah terserlah sejak awal kejohanan apabila dinobatkan Best Costume Award untuk majlis perasmian acara dan persembahan joget dalam Parade of Nations.

“Mereka telah menggayakan pakaian tradisional berbilang kaum bagi mempromosikan seni dan kebudayaan tempatan Malaysia.

“Dalam pusingan seterusnya, hampir kesemua ahli pasukan negara berjaya ke peringkat separuh akhir iaitu bagi kategori vokal, tarian, muzik dan peragaan,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.

Catat Fadhlina lagi, kejayaan pasukan negara dalam WCOPA ke-27 sememangnya telah membanggakan seluruh rakyat Malaysia.

“Tahniah kepada semua peserta dan pasukan yang telah mengharumkan Malaysia di persada dunia.

“Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan bakat yang luar biasa tetapi juga dedikasi tinggi yang menjadi inspirasi kepada kita semua,” jelasnya.

Terdahulu, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSeMKL), Ummi Umairah Saiful Anuar memenangi pingat emas (juara dunia) kategori vokal junior.

Manakala beberapa peserta lain seperti Dion Das Anak Louis (peragaan), Ryan Zachary Shareef Van Der Horst (peragaan), Aleysha dan Ryan (vokal duet), Vanessa Williams (tarian solo) serta Aejexrelson Rauli dan Vanessa (tarian duet) berjaya mara hingga ke peringkat akhir.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok