Malaysia-Teacher-Prize
Malaysia-Teacher-Prize

Malaysia Teacher Prize umum 10 finalis, berpeluang memenangi RM50,000

Adlan Farhan Azwan
29 Sep 2022 09:05am
A
A
A

Buat julung kalinya, Malaysia Teacher Prize mengumumkan 10 finalis sebagai pengiktirafan kepada guru terhadap sumbangan luar biasa mereka dalam usaha mendidik anak-anak muda di negara ini bagi tahun ini.

Anugerah yang dianjurkan oleh PEMIMPIN GSL dengan sokongan YTL Foundation ini merupakan anugerah Global Teacher Prize edisi Malaysia yang pertama dengan tujuan menghargai sumbangan cemerlang para guru dan mengetengahkan peranan mereka dalam mendidik masyarakat.

10 orang guru yang telah disenarai pendek ini akan bertanding bagi meraih hadiah utama Malaysia Teacher Prize iaitu wang tunai sebanyak RM50,000.

Selain itu, empat orang guru lain yang tersenarai bagi lima finalis teratas akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.

Selain bersaing untuk merebut hadiah wang tunai, kesemua guru ini akan ditawarkan sebuah program pembangunan profesional untuk memahami dan mengembangkan impak mereka menjangkau ruangan bilik darjah.

Malaysia Teacher Prize yang pertama kali dianjurkan ini telah menerima lebih daripada 800 pernyertaan dalam tempoh 10 Mei hingga 17 Julai lalu.

Setelah melalui proses saringan, seramai 10 guru terbaik telah disenarai pendek oleh panel juri yang terdiri daripada barisan ahli akademik, pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan (KPM), individu cemerlang daripada organisasi korporat dan pendidikan dari seluruh negara.

Pemilihan guru-guru ini adalah berdasarkan amalan bilik darjah yang inovatif, sumbangan mereka terhadap profesion perguruan dan komuniti, perancangan teratur membelanjakan wang yang dimenangi serta kisah mereka sebagai seorang pendidik.

Menurut Pengarah Program YTL Foundation, Datuk Kathleen Chew, pihaknya berbesar hati untuk menyokong Malaysia Teacher Prize melalui PEMIMPIN GSL dan kerjasama ini memberi peluang kepada pihaknya untuk menonjolkan dan meraikan usaha para guru di Malaysia.

“Malaysia Teacher Prize adalah antara program yang kami taja untuk memperkasa dan membina semula komuniti setempat, terutamanya mereka yang terkesan dalam tempoh pasca pandemik ini.

“Saya yakin 10 finalis ini akan terus memberi inspirasi kepada guru-guru lain di seluruh negara dengan kisah dan usaha mereka untuk meningkatkan kemenjadian murid,” katanya menerusi satu kenyataan, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengarah Program PEMIMPIN GSL, Samuel Isaiah berkata, kisah-kisah daripada 10 finalis ini hanyalah sebahagian daripada kisah guru-guru Malaysia yang telah melakukan perkara yang menakjubkan.

“Justeru, langkah yang seterusnya adalah untuk mengembangkan idea mereka ke peringkat antarabangsa.

“Inilah sebabnya Malaysia Teacher Prize telah menyediakan pelan pembangunan jangka panjang untuk 10 finalis ini supaya mereka boleh terus memurnikan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta berkongsi pengetahuan dengan guru-guru di seluruh negara,” tambah Samuel.

Majlis anugerah Malaysia Teacher Prize akan berlangsung pada 7 Oktober ini dan 10 finalis yang terpilih ini juga akan berkongsi kaedah PdP mereka dalam persidangan Leaps of Knowledge pada 8 Oktober 2022.

Berikut merupakan senarai 10 finalis guru untuk Malaysia Teacher Prize.

1. Cikgu Anita Md. Yasin dari Kolej Vokasional Keningau, Sabah.

2. Cikgu Kumaresan Muniandy dari Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK) Vokasional Merbok, Kedah.

3. Cikgu Goh Kok Ming dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chi Seng 2, Rantau Panjang, Perak.

4. Cikgu Tan Shi Min dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Ibrahim, Pendang, Kedah.

5. Cikgu Shahril Othman dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Samudera, Seri Manjung, Perak.

6. Cikgu Anuthra Sirisena dari Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Chung Hwa, Tenom, Sabah.

7. Cikgu Wan Muadzam Wan Abidin dari SK Klang, Klang, Selangor.

8. Cikgu Shyielathy Arumugam dari SMK Datuk Haji Abdul Wahab, Sungai Siput, Perak.

9. Cikgu Aishah Mohamed Hamdan dari SMK Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak.

10. Cikgu Khairil Azmir Ahmad dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Perempuan Alawiyah, Kangar, Perlis.

Artikel berkaitan

Milik siapakah trofi kristal ini? Nantikan pengumumannya 5 Oktober depan

Hadiah RM50,000 untuk sekolah, milik siapakah?  

Dua kali juarai Pertandingan Mobile Legend, SK Kampung Lindungan bersaing dalam ASSSB


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok