radzi jidin
radzi jidin

Mangsa banjir tidak perlu ganti buku teks yang rosak - Radzi

Nor Azma  Muhamat Laila
07 Jan 2022 01:25pm
A
A
A

Murid-murid yang kehilangan buku teks atau rosak akibat banjir tidak perlu membayar ganti rugi di atas kerosakan tersebut mahupun menggantikan buku berkenaan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata Kementerian Pendidikan (KPM) sedar bahawa dalam tempoh banjir besar yang berlaku, ramai murid terjejas akibat banjir dan kementerian menerima banyak pertanyaan mengenai buku teks murid yang rosak akibat banjir.

"Untuk makluman semua, berdasarkan rekod yang ada pada KPM sehingga ke hari ini, sebanyak 263, 662 naskah buku teks yang rosak akibat banjir melibatkan 14,422 orang murid di seluruh negara.

"Berdasarkan rekod ini, KPM mempunyai stok yang mencukupi untuk menggantikan buku yang rosak bagi membolehkan murid-murid mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran pada minggu depan," katanya menerusi perkongsian di laman sosial miliknya, hari ini.

Tambahnya lagi, guru-guru akan merekodkan jumlah buku teks yang rosak akibat banjir dan KPM akan memastikan usaha untuk menggantikan buku teks dapat dilaksanakan segera bagi membolehkan sesi persekolahan minggu depan berjalan dengan teratur dan lancar.

"Insha-ALLAH, kita doakan semoga semua anak-anak kita yang terjejas akibat banjir dapat mengharungi tempoh yang sukar ini serta dapat kembali ke sekolah apabila sekolah di buka kelak," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok