azmi
azmi

Mangsa buli perlukan sokongan moral

Norliza Wasilan
05 Sep 2022 11:04am
A
A
A

Buli adalah isu yang sangat sensitif bagi sesetengah pihak terutamanya mangsa yang cukup terkesan sehingga mengalami trauma atau ketakutan berpanjangan.

Perkara inilah yang akan menyebabkan ada antara mereka enggan berkongsi masalah dengan keluarga atau kenalan terdekat disebabkan tidak mahu memanjangkan isu atau takut kepada pembuli.

Namun, jika sistem sokongan membabitkan keluarga dan kenalan cukup kuat, maka ia sangat membantu mangsa ini keluar daripada trauma yang membelenggu mereka.

Seorang bapa kepada mangsa buli di sebuah sekolah berasrama penuh di Labu, Negeri Sembilan, Noor Azmi Mohd Noor, 44, mengakui pada mulanya anaknya terkesan dengan kejadian itu.

Namun, sebagai bapa, dia sentiasa memberi sokongan dan nasihat untuk mengembalikan keyakinan diri anaknya supaya tidak terlalu memikirkan apa yang telah berlaku.

Walaupun kesal dengan kejadian yang menimpa anaknya apabila dibuli bersama beberapa rakannya sehingga lebam pada kaki, betis dan tangan, namun dia menyerahkannya kepada pihak sekolah serta polis untuk tindakan lanjut.

“Kami memang jenis keluarga yang sangat memberi sokongan antara satu sama lain, lebih-lebih lagi kalau ada antara kami sedang mengalami masalah.

“Malah, sebaik tahu kejadian (buli) ini, kami sekeluarga pergi ke sekolah untuk meminta penjelasan daripada guru mengenai apa yang berlaku.

“Selepas kejadian itu, saya selalu nasihat kepada dia, pergi ke sekolah kena ada nawaitu (niat) iaitu belajar dan elakkan daripada terbabit dengan masalah,” ujarnya lagi.

Ditanya sama ada anaknya pernah menyuarakan hasrat untuk berpindah ke sekolah lain selepas kejadian itu, dia berkata, anaknya tetap mahu meneruskan persekolahan di situ.

“Dia ada maklumkan kepada saya untuk meneruskan persekolahan di situ sehingga habis, jadi kami sokong saja keputusannya.

“Bagaimanapun, saya juga ada terdengar terdapat beberapa mangsa buli yang terbabit dalam insiden itu sudah berpindah ke sekolah lain,” ujarnya lagi.

Media pada Mei lalu melaporkan sekumpulan pelajar senior di sebuah sekolah berasrama penuh di Labu dipercayai membuli pelajar Tingkatan Dua dalam asrama ketika minggu orientasi pada waktu malam sehingga mendatangkan trauma dan kecederaan.

Susulan kejadian itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Negeri Sembilan, Superitenden Mohd Fazley Ab Rahman dalam kenyataannya kepada media sebelum ini memaklumkan seramai 30 pelajar sekolah itu telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes.

Artikel berkaitan

KPM lancar portal aduan buli

Kes buli: Nasib 10 pelajar MRSM di tangan pendakwa raya

Pelaksanaan ‘spotcheck’ mengejut, tangani isu buli di sekolah berasrama


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok