HomeBuletinMansuh PT3, KPM perkasa pelaksanaan PBS

Artikel Berkaitan

Mansuh PT3, KPM perkasa pelaksanaan PBS

Sejak 1993 lalu, Penilaian Menengah Rendah (PMR) merupakan peperiksaan kebangsaan yang ditadbir secara berpusat manakala elemen penilaian kerja kursus pula dinilai oleh sekolah di peringkat menengah rendah.

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) pula telah diperkenalkan pada 2012 manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) diperkenalkan pada 2014 bagi menggantikan PMR selaras dengan pelaksanaan PBS, bertujuan mengurangkan tumpuan keterlaluan terhadap peperiksaan.

Seperti yang kita sedia maklum, pada 2020 dan 2021, PT3 tidak dapat dilaksanakan ekoran daripada pandemik Covid-19 yang memaksa sistem pendidikan negara berubah kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Selepas dua tahun pelaksanaan PT3 terpaksa ditangguhkan, hari ini Kementerian Pendidikan (KPM) membuat keputusan untuk memansuhkan PT3 bermula tahun ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, sehubungan itu KPM memfokuskan kepada usaha-usaha untuk memperkasakan PBS yang mempunyai tiga komponen iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), (Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

“KPM turut memperkenalkan Pentaksiran Sumatif mengikut tahun dan tingkatan bagi menggantikan pemansuhan-pemansuhan ujian tersebut termasuk Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Bagi memperkasakan Petaksiran Sumatif, KPM akan memantapkan ujian akhir sesi akademik di sekolah rendah untuk lima mata pelajaran, manakala di sekolah menengah melibatkan semua mata pelajaran,” katanya pada sidang media khas yang diadakan hari ini.

Ujarnya lagi, di bawah Pentaksiran Sumatif, soalan untuk ujian akhir sesi akademik bagi Tahun Empat, Lima dan Enam serta Tingakatan Satu, Dua dan Tiga akan disediakan melalui satu bank soalan oleh pihak KPM.

“Bagi sekolah rendah, KPM hanya akan membuat soalan membabitkan lima subjek iaitu Bahasa Melayu, Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah, manakala soalan bagi subjek-subjek lain akan disediakan oleh guru-guru di sekolah.

“Lima mata pelajaran ini akan membantu guru-guru untuk melihat murid-murid berjaya menguasai mata pelajaran yang dipelajari pada akhir tempoh pembelajaran tersebut,” jelasnya.

Mohd Radzi berkata, bagi pihak KPM, maklumat-maklumat berkenaan akan dapat membantu kementerian secara lebih menyeluruh untuk melihat pencapaian murid-murid di seluruh negara berkaitan konteks subjek yang disebut itu.

“Ini membantu kita melihat khususnya dalam perkara literasi bagi membolehkan intervensi dibuat di peringkat negeri, daerah, dan sekolah,” jelasnya.

Artikel berkaitan

KPM umum Cuti Sekolah Penggal 1 Sesi 2022/2023 selama 9 hari

Penyediaan lokar di sekolah dibuat secara berfasa – KPM

Guru Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam tidak cukup – Mohd Radzi


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Artikel Terkini