sayembara4
sayembara4

Martabat bahasa Melayu melalui penulisan kreatif, UKM anjur sayembara cerpen

Nor Azma  Muhamat Laila
24 Jun 2022 04:40pm
A
A
A

BATU PAHAT - Dalam usaha memperkukuhkan penghayatan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat terutamanya pelajar sekolah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menganjurkan Sayembara Cerpen Parit Sulong 2022 (SAMPENG 2022), baru-baru ini.

Program yang turut mendapat kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat, Johor itu juga sebagai tanda sokongan dan menyambut seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam memperkasa penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, SAMPENG 2022 merupakan sebuah program yang julung kali diadakan dengan tujuan utama untuk memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai lembayung ilmu kepada penulisan kreatif dan puitis.

Menurutnya, sayembara ini berupaya menggilap penulis cilik untuk menghasilkan karya kreatif seterusnya menggalakkan peserta menzahirkan pemikiran kreatif dan kritis mereka ke dalam bentuk penulisan yang berimpak positif.

“Kita pastinya berbangga apabila bahasa Melayu dikenali sebagai bahasa yang puitis, merdu, dan juga unik.

“Tambahan pula, bahasa Melayu juga telah terbukti sekian lama dalam menyatupadukan pelbagai kaum di Malaysia.

“Walaupun rata-rata peserta lahir dalam era milenium yang dipenuhi oleh gelombang modenisasi, kemegahan menggunakan bahasa Melayu untuk menyampaikan sesuatu idea masih dikekalkan,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, bidang penulisan kreatif boleh dianggap sebagai satu bidang yang wajar diperkenalkan secara lebih menyeluruh di semua peringkat dan lapisan masyarakat.

“Hal ini demikian kerana dalam sesebuah karya seperti cerpen misalnya, terdapat nilai-nilai murni yang intrinsik dan ekstrinsik yang diselitkan.

“Nilai-nilai seperti ini, jika dicerap melalui pembacaan akan membentuk kemahiran insaniah dan sahsiah diri yang tinggi kepada pembaca,” jelasnya.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, sayembara ini amat bertepatan dengan aspirasi penubuhan UKM sebagai sebuah universiti watan yang meletakkan jati diri kebangsaan sebagai asas untuk menjulang semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.

“UKM melalui Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) telah dipilih sebagai Sekretariat Jawatankuasa Induk Pengembangan Bahasa Melayu Institusi Pengajian Tinggi Negara-negara ASEAN oleh KPT.

“Antara peranan jawatankuasa ini adalah untuk merancang pemetaan program kerjasama melalui pelbagai aktiviti pengembangan bahasa Melayu di IPT di negara-negara ASEAN,” katanya.

Beliau juga turut menzahirkan rasa bangga terhadap penyertaan dan usaha pelajar yang mempamerkan kebolehan masing-masing dalam penulisan karya kreatif.

“Penulisan kreatif sememangnya adalah satu kebolehan yang tidak dimiliki oleh semua orang.

“Kebolehan untuk mencetuskan ilham, seterusnya mematangkan dan menzahirkannya dalam sebuah bentuk penulisan adalah satu proses yang memerlukan masa yang panjang dan adakalanya penulis perlu berfikir di luar kotak,” jelasnya.

Pertandingan ini hanya terbuka kepada pelajar-pelajar Parlimen Parit Sulong dengan dua kategori iaitu kategori sekolah rendah dan juga sekolah menengah.

Bertemakan Keluarga Malaysia Masyarakat Prihatin, sebanyak 32 buah sekolah kebangsaan dan lima buah sekolah menengah di sekitar Parlimen Parit Sulong telah menghantar penyertaan dalam pertandingan ini.

16 cerpen karya terbaik oleh peserta sayembara ini dihimpunkan ke dalam sebuah buku yang bertajuk Ceritera Kulawangsa Parit Sulong.

Artikel berkaitan

Kenali 14 Sasterawan Negara yang banyak berjasa kepada negara

Bakat luar biasa 25 pelajar buat warga sekolah bangga!

Sertai pertandingan menulis esei, ini 6 kelebihannya bagi pelajar sekolah


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok