No Image Caption

Melaka bangga! Atlet sekolah harumkan nama negeri

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
06 Nov 2025 06:00pm

Kejayaan cemerlang atlet sekolah Melaka dalam pelbagai kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) tahun ini, membuktikan kekuatan semangat juang dan peranan besar guru sebagai tulang belakang kejayaan anak didik negeri itu.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, sukan sekolah bukan sekadar platform mencungkil bakat tetapi medan membina insan berdisiplin, berpasukan dan berdaya tahan tinggi.

“Di sebalik setiap atlet yang berjaya, ada guru yang sabar, menyokong dan memberi semangat tanpa jemu. Hebatnya anak-anak Melaka kerana hebatnya guru-guru mereka,” katanya ketika berucap dalam Majlis Apresiasi MSSM Melaka 2025 di sini, baru-baru ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPNM), Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Melaka (MSSNM), jurulatih serta warga pendidik yang sentiasa memainkan peranan penting dalam memartabatkan sukan di negeri bersejarah itu.

Menurut beliau, kejayaan tidak datang sekelip mata, sebaliknya hasil usaha berterusan dan semangat berpasukan kukuh antara pelajar, guru, jabatan serta kerajaan negeri.

Antara kejayaan membanggakan tahun ini ialah pasukan hoki Melaka yang dinobatkan Johan Keseluruhan Kejohanan Hoki MSSM 2025 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Perak.

Sebagai Presiden Persatuan Hoki Melaka, Rais menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian itu dan menyifatkannya sebagai bukti semangat juang tinggi, disiplin serta latihan konsisten yang diterapkan dalam kalangan atlet muda.

“Sukan bukan sekadar mencari pingat atau kejuaraan, tetapi alat pembinaan insan dan pemimpin masa depan. Melalui sukan, pelajar belajar erti disiplin, kerja berpasukan, ketahanan mental dan semangat pantang menyerah,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan negeri komited memperkukuh ekosistem sukan di peringkat akar umbi melalui pelbagai kerjasama strategik antara JPNM, Majlis Sukan Negeri dan sektor swasta.

Tambahnya, usaha itu bertujuan menyediakan ruang dan kemudahan terbaik agar lebih ramai pelajar dapat mengasah bakat untuk melangkah ke pentas lebih tinggi dari kejohanan MSSM hingga ke peringkat antarabangsa seperti Sukan SEA dan Olimpik.

Rais turut menyeru atlet muda supaya tidak mudah berpuas hati dengan kejayaan semasa, sebaliknya terus berlatih dan memperkukuh jati diri untuk menjadi pelapis kebanggaan negeri dan negara.

“Apabila sukan digabungkan dengan ilmu dan akhlak, lahirlah pelajar yang seimbang jasmani, emosi, rohani dan intelek selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan,” katanya.

Majlis Apresiasi MSSM Melaka 2025 diadakan bagi menghargai pencapaian pelajar, jurulatih dan guru yang mengharumkan nama negeri dalam bidang sukan sekolah sepanjang tahun ini.

 

 

Ringkasan AI

  • Kejayaan cemerlang atlet sekolah Melaka dalam pelbagai kejohanan MSSM membuktikan peranan guru sebagai tulang belakang kejayaan
  • Sukan sekolah dianggap sebagai platform membina karakter disiplin, berpasukan dan ketahanan mental
  • Penghargaan diberikan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Negeri Melaka atas peranan dalam memartabatkan sukan
  • Pasukan hoki Melaka dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan di Kejohanan Hoki MSSM 2025
  • Komitmen kerajaan negeri memperkukuh ekosistem sukan untuk mencungkil lebih banyak bakat ke peringkat antarabangsa
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp