No Image Caption

Road Relay SK Bandar Mersing cipta semangat wira sukan sekolah!

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
06 Nov 2025 07:00pm

Semangat kesukanan jelas terpancar di wajah ratusan peserta apabila Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Mersing di Johor berjaya menganjurkan Road Relay 4x1KM 2025 Peringkat Daerah Mersing baru-baru ini.

Program anjuran PIBG dan Unit Kokurikulum SK Bandar Mersing itu, berlangsung meriah di pekarangan sekolah dan disertai murid sekolah rendah serta pelajar sekolah menengah seluruh daerah, selain penyertaan daripada jabatan kerajaan, syarikat swasta dan komuniti setempat.

Dengan objektif meningkatkan tahap kecergasan fizikal serta membina semangat kerja berpasukan, acara ini menjadi medium untuk menerapkan nilai disiplin dan daya juang tinggi dalam kalangan pelajar.

Guru Besar SK Bandar Mersing, Rohaza Harun berkata, program seumpama ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga berperanan penting dalam pembentukan sahsiah dan jati diri murid.

“Larian berpasukan seperti Road Relay bukan sekadar bersukan tetapi melatih pelajar bekerjasama, menghormati peraturan dan berusaha hingga ke garisan penamat. Ia melambangkan semangat sebenar pendidikan menyeluruh yang seimbang dari aspek jasmani, emosi dan intelek,” katanya.

No Image Caption

Acara yang bermula seawal jam 7.30 pagi itu, menyaksikan peserta melalui laluan sejauh 1 kilometer setiap seorang sebelum menyerahkan baton kepada rakan sepasukan, simbolik kepada nilai kepercayaan dan tanggungjawab bersama.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Yang Dipertua PIBG, Mohamad Razali Salikolati yang memuji komitmen warga sekolah dalam menjayakan program berimpak tinggi ini.

Beliau berkata, usaha seperti ini dapat mengukuhkan hubungan antara sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat, selaras aspirasi pendidikan holistik yang digariskan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Selain menjadi platform kesihatan dan kecergasan, acara ini juga berperanan sebagai inisiatif pengumpulan dana kokurikulum SK Bandar Mersing, bagi menyokong pelaksanaan aktiviti pelajar pada masa hadapan.

Majlis penyampaian hadiah diadakan pada penghujung program bagi meraikan pemenang dan mengiktiraf semangat juang semua peserta.

“Kami berharap Road Relay ini dapat dijadikan acara tahunan daerah Mersing kerana ia memberi kesan positif terhadap pembangunan sahsiah dan semangat kesukanan pelajar,” tambah beliau.

Ringkasan AI

  • Semangat kesukanan dipamerkan oleh ratusan peserta dalam Road Relay 4x1KM 2025 anjuran SK Bandar Mersing di Johor
  • Acara tersebut bertujuan meningkatkan kecergasan fizikal dan semangat kerja berpasukan
  • Guru Besar SK Bandar Mersing menyatakan acara tersebut sebagai pendidikan menyeluruh yang melibatkan aspek jasmani, emosi dan intelek
  • Peserta melalui laluan 1 kilometer sebelum menyerahkan baton, melambangkan kepercayaan dan tanggungjawab
  • Acara juga sebagai platform pengumpulan dana kokurikulum dan diharapkan menjadi acara tahunan di daerah Mersing
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp