Menjenamakan semula Tingkatan Enam kepada Kolej Pra Universiti di bawah KPM

AZLEENDA SAHALUDIN
13 Jul 2023 04:14pm
A
A
A

Kementerian Pendidikan (KPM) berhasrat menjenamakan semula Tingkatan Enam kepada Kolej Pra Universiti di bawah kementerian tersebut.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ia termasuklah mengubah istilah-istilah yang digunakan di dalam sistem pendidikan Tingkatan Enam iaitu penggunaan murid kepada pelajar, guru kepada pensyarah dan pengetua kepada pengarah.

Justeru, tambahnya, ibu bapa perlu yakin untuk membenarkan anak masing-masing menyambung pelajaran ke Tingkatan Enam dan ini bukan peluang kedua tetapi ia adalah satu peperiksaan berprestij tinggi.

“STPM ini adalah satu peperiksaan berprestij tersendiri dan ia diiktiraf GCE Advance Level yang dikelolakan oleh Cambridge Assessment International Education, United Kingdom.

“Oleh itu, pelajar lepasan STPM ini bukan sahaja berpeluang menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi di dalam negara tetapi juga berpeluang menyambung ke luar negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2022 di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Selayang, Selangor.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPM, Datuk Indera Nik Nasarudin Mohd Zawawi; Pengerusi MPM yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman; Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali dan ibu bapa serta pelajar-pelajar cemerlang STPM 2022.

Tutur Fadhlina, pihaknya juga telah berjaya menyangkal segala persepsi negatif tentang Tingkatan Enam dengan menaikkan saluran pengajian itu sebagai tempat yang menyediakan pelbagai akses pendidikan lebih tinggi kepada pelajar.

“Kami di KPM mempunyai komitmen yang besar untuk terus memastikan STPM menjadi pilihan anak-anak serta pilihan berprestij untuk menyambung pelajaran.

Artikel Berkaitan:

“STPM bukan lagi pilihan kedua bagi mereka yang tidak berpeluang menyambung ke universiti tetapi ia adalah satu platform yang menyediakan pelbagai akses dan ruang untuk pelajar menyambung ke peringkat institut pengajian tinggi (IPT),” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok