Minggu Solidariti Palestin sesuai untuk sekolah
Menteri tegaskan penganjuran program itu patuhi aspek ditetapkan kerajaan dan tidak perlu dipolitikkan
Pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin memberi ruang kepada pelajar untuk menzahirkan sokongan dan rasa simpati terhadap rakyat Palestin yang diserang rejim Zionis tanpa henti sejak 7 Oktober lalu.
Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Ahmad Razali, Ampang Jaya, Selangor, Rose Aliza Sutrisno berkata, program berkenaan merupakan salah satu sumbangan kecil yang dapat diberikan kepada rakyat Palestin.
“Banyak bantuan yang boleh kita salurkan untuk membantu mereka dan salah satu daripadanya ialah penganjuran program seperti ini. Sekecil mana pun sumbangan itu, ia amat bermakna untuk saudara di sana (Gaza).
“Saya harap semoga program ini akan mewujudkan budaya sukarelawan dalam kalangan pelajar dan menjadi asbab perpaduan dalam negara semakin erat tanpa mengira agama serta bangsa untuk membantu sesiapa sahaja yang ditindas,” katanya ketika majlis pelancaran tabung sumbangan kepada rakyat Palestin pada Khamis.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohd Kamri Kamaruddin; ADUN Lembah Jaya, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum), Dr Ahmad Rafee Che Kassim dan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Abu Hanipah@Fauzi Zahari.
Program itu turut diserikan dengan persembahan sajak bertajuk Sayap Rabik Merpati Di Bumi Palestin dan Meskipun Hanya Sebiji Batu oleh Nazeef Ameer Nazshahrizad, 13, serta Adreanna Qaleesya Syafiq Wazan, 13, manakala syair berjudul Mengenang Rouzan An-Najar pula disampaikan Fatin NurBatrisyia Mohamad Faizal, 13.
Dalam masa sama, guru Bahasa Inggeris, Cikgu P Shobha Menon, 52, berpendapat, penerapan nilai kemanusiaan merupakan salah satu tanggungjawab guru dalam mendidik anak bangsa untuk menegakkan kebenaran.
“Menerusi program ini, kita dapat terapkan keberanian dan nilai kemanusiaan dalam diri pelajar di mana ia akan membentuk mereka menjadi individu yang tidak berasa gentar untuk membela nasib mana-mana pihak yang menjadi mangsa kezaliman,” katanya.
Sementara itu, pelajar Tingkatan Lima, Sarah Safyyah Saiful Azwan, 17, berkata, program berkenaan telah membuka minda lebih ramai pelajar supaya memahami dan mengambil berat mengenai keadaan yang berlaku di bumi Gaza.
Ujarnya, ia menjadi salah satu cara untuk dia dan rakan-rakan menunjukkan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin dalam menentang rejim Zionis selain menggunakan media sosial.
Turut berkongsi pandangan, pelajar Tingkatan Lima, Muhammad Shazwan Aiman Nor Azlan, 17, dia dan rakannya teruja dengan program anjuran kementerian itu kerana ia mendedahkan mereka kepada nilai kemanusiaan untuk berjuang mempertahankan kebenaran.
Garis panduan penganjuran Minggu Solidariti Palestin yang dijalankan sejak 29 Oktober lalu bertepatan dan bersesuaian dengan ekosistem pendidikan negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, program tersebut mematuhi setiap aspek yang ditetapkan kerajaan dan ia sepatutnya tidak dipolitikkan serta menjadi polemik sehingga menimbulkan salah faham.
“Ia mematuhi garis panduan dan menepati aspirasi serta inspirasi yang kita mahu lahirkan daripada Minggu Solidariti Palestin ini iaitu memberi penekanan berkaitan mesej kedamaian, kemanusiaan dan keharmonian dalam kalangan pelajar.
“Sekolah mempunyai dinamik tersendiri. Jadi menjadi tanggungjawab guru untuk memastikan mesej ini sampai mengikut aktiviti yang dirasakan sesuai dengan ekosistem pendidikan negara.
“Malah, menjadi tanggungjawab kementerian untuk memastikan mesej kemanusiaan dan kedamaian ini sampai kepada pelajar,” katanya pada sidang akhbar selepas program Minggu Solidariti Palestin di SMK Dato Ahmad Razali pada Khamis.
Sebelum ini, garis panduan KPM mendapat kritikan segelintir pengguna media sosial yang menyifatkan ia tidak jelas dan tidak mencerminkan program berkenaan iaitu ‘jangan hanya menonjolkan perspektif satu pihak’ serta ‘elakkan menggunakan simbol atau ikon boleh menimbulkan kontroversi’.
Tambah Fadhlina, kerajaan telah mengadakan libat urus sebelum program itu dilaksanakan dan turut membabitkan bantuan intervensi sekiranya timbul sebarang masalah di peringkat kementerian secara menyeluruh.
Ujarnya, garis panduan penganjuran program itu disampaikan secara jelas kepada komuniti pendidikan, sekali gus menolak pelbagai perdebatan berhubung perkara itu di media sosial.
“Ia tidak wajar diperdebatkan di media sosial kerana ia dirangka secara jelas bagi komuniti pendidik. Program anjuran KPM di semua institusi pendidikan yang bermula pada 29 Oktober lalu berakhir 3 November,” jelasnya.