No Image Caption

MRSM Beseri & Balik Pulau menyerlah: Lonjakan GP paling ketara SPM 2024

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
24 Apr 2025 10:46am

Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 mencatatkan pencapaian luar biasa bagi seluruh rangkaian Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) apabila Gred Purata (GP) keseluruhan melonjak ketara kepada 1.892, berbanding 2.392 pada tahun sebelumnya.

Menurut Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, pencapaian ini membuktikan keberkesanan sistem pendidikan bersepadu MRSM dalam melahirkan pelajar cemerlang, bukan sahaja dari segi akademik tetapi juga sahsiah dan pembangunan insan.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua guru, pentadbir serta pelajar daripada 57 MRSM yang telah mencipta sejarah ini. Ia adalah bukti usaha gigih dan kerjasama erat semua pihak dalam memperkukuh kualiti pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, tahun ini juga menyaksikan 10 buah MRSM mencatat GP bawah 1.50, peningkatan ketara berbanding hanya sebuah MRSM pada tahun lalu. Selain itu, sebanyak 31 MRSM memperoleh GP bawah 2.00, berbanding sembilan buah pada tahun sebelumnya.

Pelajar cemerlang lebih ramai

Daripada 7,650 calon MRSM, seramai 1,670 pelajar atau 21.83 peratus memperoleh semua A dalam semua subjek yang diambil, berbanding 1,131 pelajar pada tahun lalu.

Dalam kalangan mereka, seramai 69 pelajar memperoleh semua A, termasuk lapan pelajar dengan 10A dan 61 pelajar dengan 9A, sekali gus menunjukkan peningkatan berbanding 50 pelajar pada 2023.

Dalam perkembangan berkaitan, dua MRSM mencuri tumpuan apabila mencatat lonjakan GP tertinggi tahun ini. MRSM Beseri merekodkan peningkatan sebanyak 1.408 mata, manakala MRSM Balik Pulau mencatat peningkatan sebanyak 1.171 mata.

Artikel Berkaitan:

Asyraf Wajdi turut memaklumkan bahawa hampir semua subjek Teras dan Elektif yang ditawarkan kepada calon MRSM menunjukkan peningkatan dari segi Gred Purata Subjek (GPS). Hanya subjek Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Elektrikal belum menunjukkan peningkatan yang signifikan.

Sementara itu, Mara katanya, akan terus komited memperkukuh sistem pendidikan MRSM yang bukan sahaja menekankan aspek akademik, malah memberi tumpuan kepada pembangunan holistik pelajar selaras dengan aspirasi melahirkan generasi Ulul Albab.

“Kami yakin dengan pendekatan seimbang antara kecemerlangan intelek dan pembentukan sahsiah, MRSM mampu terus melahirkan pelajar yang bukan sahaja bijak tetapi berakhlak tinggi serta bersedia menyumbang kepada negara,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp