Murid prasekolah sertai pertandingan seni AI antarabangsa
Terdedah dengan teknologi terkini pada usia masih muda
KOTA BHARU - Lebih 60 pelajar dari tiga negara termasuk peserta termuda dalam kalangan murid prasekolah negara ini menyertai Pertandingan Seni Generatif Kecerdasan Buatan (AI) Antarabangsa 2024.
Pertandingan disertai pelajar dari Malaysia, Indonesia dan Mesir itu dianjurkan oleh Creative Accelerator Center (CAC), Fakulti Teknologi Kreatif serta Warisan (FTKW), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) secara dalam talian bermula 6 Jun hingga 30 Julai lalu.
Pengarah CAC FTKW UMK, Profesor Madya Ahamad Tarmizi Azizan berkata, pertandingan melibatkan tiga kategori iaitu 5-6, 7-12 dan 13-19 tahun.
“Paling membanggakan penyertaan peserta paling muda berusia enam tahun antaranya dari beberapa sekolah di Kelantan dalam bidang yang sedang berkembang pesat di peringkat global ini.
“Mereka termasuk tiga yang tersenarai di peringkat akhir dan acara kemuncak pengumuman pemenang serta penyampaian hadiah akan berlangsung di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) 14 September ini,” katanya pada Rabu.
Beliau sebelum itu turut menyampaikan sijil kepada lima peserta termuda dari Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ketereh.
Program mendapat kerjasama Persatuan Pendidik Animasi Malaysia (PPAM), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), serta Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP), Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPN) di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
MDEC, Persatuan Seniman Seni Digital Malaysia dan Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah ialah antara penaja utama program ini.
Ahamad Tarmizi berkata, selainnya turut diadakan pameran lebih 200 karya seni daripada 15 negara di SSTP JPN Kelantan Julai lalu.
Tambah beliau, acara tersebut juga sebahagian daripada penganjuran Karnival Pendidikan Digital dan International MyDigital Maker Fair 2024 Zon Timur yang bertujuan memupuk minat generasi muda terhadap seni digital dan teknologi khususnya dalam bidang AI.
Katanya, panel juri terdiri dalam kalangan antarabangsa merangkumi ahli akademik juga pakar seni budaya dari Malaysia, Jerman dan Turki yang sekali gus memberikan penilaian berkualiti tinggi, nilai tambah serta impak terhadap karya seni digital generasi baharu.
“Pameran seterusnya akan dipersembahkan di International MyDigital Maker Fair 2024 di KLCC pada 13 hingga 15 September ini.
“Ini ialah peluang untuk meneroka potensi teknologi AI dalam menghasilkan karya inovatif selari dengan kepentingan teknologi AI dalam seni visual dan trend global yang semakin berkembang,” katanya.