Nahas helikopter TLDM: KPT salur bantuan pendidikan dan kewangan kepada waris
Tragedi dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terhempas di Pangkalan TLDM Lumut, Perak, Selasa lalu, mengundang sebak seluruh rakyat Malaysia terutamanya keluarga mangsa.
Dengan terkorbannya 10 individu yang melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM, waris mereka pastinya memerlukan pelbagai sokongan daripada semua pihak.
Susulan tragedi yang berlaku tanpa diduga itu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersama agensi di bawahnya sepakat menyalurkan beberapa insentif bagi membantu meringankan beban keluarga wira-wirawati tersebut, demikian kata KPT dalam kenyataan media, Khamis.
Antara agensi itu adalah Yayasan Perkasa Siswa (YPS), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Education Malaysia Global Services (EMGS), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Holdings.
Mereka (KPT dan agensi) akan menyalurkan sumbangan dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) berjumlah RM1,000 setiap seorang (keseluruhan 21 anak mangsa korban yang masih bersekolah).
Mereka juga akan membiayai sepenuhnya yuran pengajian sehingga tamat belajar kepada Mahasiswa Tahun Satu, Sarjana Muda Keusahawanan, UMK, Nurul Shahfiqah Mohd Shahrizan iaitu anak sulung Allahyarham Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi.
Seterusnya, KPT dan agensinya akan menyalurkan sumbangan berbentuk tunai kepada waris setiap 10 keluarga terlibat.
Sementara itu, KPT memaklumkan bahawa mereka turut bersedia untuk menyalurkan apa jua keperluan dan sokongan kepada waris mangsa terutama dalam aspek pendidikan tinggi negara.
“Semoga seluruh ahli keluarga tabah dan sabar menghadapi dugaan ini,” jelasnya.
Terdahulu, insiden helikopter terhempas setelah bertembung di udara meragut 10 mangsa yang ketika itu menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 pada 3 Mei hingga 5 Mei ini.
Mereka yang terkorban terdiri daripada:
1) Komander Muhammad Firdaus Ramli - Pegawai Memerintah Skuadron 503
Usia: 44 tahun
Asal: Sungai Nibong Besar, Pulau Pinang
2) Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin
Usia: 38 tahun
Asal: Setapak, Kuala Lumpur
3) Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi
Usia: 35 tahun
Asal: Negeri Sembilan
4) Pegawai Waran II TLR Muhammad Faisol Tamadun
Usia: 36 tahun
Asal: Kedah
5) Pegawai Waran II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy
Usia: 41 tahun
Asal: Perak
6) Bintara Muda TNL Noor Rahiza Anuar
Usia: 39 tahun
Asal: Perak
7) Laskar Kelas I JJM Joanna Felicia anak Rohna
Usia: 24 tahun
Asal: Serian, Sarawak
8) Komander Muhamad Amir Mohamad - Pegawai Memerintah Skuadron 502
Usia: 44 tahun
Asal: Bukit Kepong, Johor
9) Leftenan Sivasutan Thanjappan
Usia: 31 tahun
Asal: Perak
10) Pegawai Waran II TMK Mohd Shahrizan Mohd Termizi
Usia: 41 tahun
Asal: Perak