Seramai 15 pelajar Tingkatan Dua dan Tiga dari sekolah menengah sekitar Pulau Pinang dalam kalangan anak B40 terpilih mengikut Program HEIEP 2024 ke Osaka, Jepun selama tujuh hari.
Seramai 15 pelajar Tingkatan Dua dan Tiga dari sekolah menengah sekitar Pulau Pinang dalam kalangan anak B40 terpilih mengikut Program HEIEP 2024 ke Osaka, Jepun selama tujuh hari.

Pelajar B40 teruja dipilih program HEIEP 2024 ke Jepun

15 Oct 2024 12:00pm

Peluang menjejakkan kaki ke negara matahari terbit ibarat mimpi menjadi kenyataan buat seorang pelajar tingkatan tiga selepas dia terpilih mengikuti Program Hibrid Pendidikan & Pengalaman Antarabangsa (HEIEP) 2024 oleh USAINS Group.

Apatah lagi ini kali pertama Arisa Daniella Azly, 15, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Hassan Noh, Penaga, Pulau Pinang akan merasai pengalaman menaiki kapal terbang.

Justeru, dia memberitahu amat teruja sebaik dimaklumkan oleh guru bahawa dia berjaya melepasi sesi temu duga dan akan terbang ke Osaka, Jepun selama tujuh hari.

"Di sana nanti, saya mahu melihat budaya serta mempelajari mengenai sistem pendidikan di sana, selain merasai sendiri suasana di negara orang dan pada masa sama mahu tunjukkan budaya Malaysia kepada mereka (pelajar Jepun).

"Saya telah lakukan persediaan untuk buat persembahan seni silat gayung serta mengetuai tarian dikir puteri.

"Selain itu, saya juga akan tunjukkan kepada mereka permainan tradisional Melayu seperti wau dan lempar guli," katanya ketika ditemui pada sesi pelepasan pelajar bagi program HEIEP 2024 di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Bayan Lepas pada Isnin.

Anak keempat daripada enam beradik itu turut berterima kasih kepada pihak USAINS kerana memberikan peluang tersebut dan berharap pengalaman berharga dapat dijadikan pembakar semangat untuknya belajar bersungguh-sungguh demi mengejar impian bergelar peguam suatu hari nanti, seterusnya mengubah nasib keluarga memandangkan ketika ini tiada dalam kalangan adik-beradiknya yang berjaya ke menara gading.

Bapa Arissa Daniella, Azly Osen, 40, merupakan seorang nelayan, manakala ibunya Shasha Ahmad, 39, bekerja sambilan sebagai pembantu di kedai makan.

Artikel Berkaitan:

ARISA DANIELLA
ARISA DANIELLA

Arisa Daniella yang berasal dari Kampung Permatang Janggus merupakan antara 15 pelajar Tingkatan Dua dan Tiga dari sekolah menengah sekitar negeri ini dalam kalangan anak B40 terpilih mengikut program yang turut mendapat kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang.

Seorang lagi pelajar SMK Dato' Hj Hassan Noh, Syahdan Norezan,15, memberitahu tidak percaya terpilih ke program itu hingga demam seminggu.

"Saya tak sabar ke sana sebab ada lawatan ke universiti dan sekolah, jadi nak tengok cara pembelajaran, belajar budaya mereka serta lihat pemandangan di sana supaya balik nanti saya boleh kongsikan dengan rakan-rakan di sini," katanya yang merupakan anak keempat dari lima beradik dan bercita-cita menjadi seorang doktor.

V Suba,15, dari SMK Air Itam pula berkata, peluang diberikan itu amat bermakna kerana dia tidak pernah merasai pengalaman menaiki kapal terbang apatah lagi ke Jepun.

"Ibu P Saraswathy, 45, paling gembira bila dapat tahu saya terpilih ke Jepun. Dia telah mengambil alih peranan sebagai ketua keluarga dengan bekerja sebagai pengawal keselamatan sekolah selepas kematian ayah ketika saya berusia sembilan tahun akibat demam kuning.

"Jadi peluang ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin demi masa depan saya, seterusnya mahu memberikan kehidupan lebih baik buat keluarga," katanya yang juga anak ketiga dari empat beradik.

No Image Caption

Peluang sekali dalam seribu

Pengarah Urusan USAINS Group, Farid Wajidi Mat Yusoff berkata, HEIEP 2024 yang julung kali diperkenalkan dijangka merevolusikan pendidikan sekolah menengah rendah dengan menggabungkan kaedah pembelajaran hibrid bersama pengalaman antarabangsa yang mencabar.

Selain melihat gaya hidup masyarakat Jepun, beliau berkata, para pelajar ini akan dibawa ke Setsunan University dan Keiko High School sebagai pendedahan dengan suasana di sana, seterusnya memberikan inspirasi kepada mereka untuk pergi lebih jauh dalam bidang pendidikan.

Jelas beliau, HEIEP 2024 bertujuan merapatkan jurang pendidikan dengan memberikan peluang kepada pelajar kurang berkemampuan bukan saja untuk pembangunan akademik tetapi juga pendedahan kepada kemajuan global dan bidang pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).

"Melalui perjalanan dan interaksi dengan rakan antarabangsa sebaya, pelajar akan memperoleh pengalaman silang budaya berharga yang akan melengkapkan mereka menjadi individu bertanggungjawab dan peka terhadap dunia global.

"НЕІЕР 2024 mencerminkan komitmen kami yang bersungguh-sungguh untuk mendemokrasikan akses kepada pendidikan berkualiti. Dengan memfokuskan kepada komuniti yang kurang diwakili, kami berharap untuk menyemarakkan semangat pembelajaran dan inovasi dalam generasi pemimpin akan datang," katanya. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp