pru-15-pelajar-ipt-diberi-5-cuti-hari
pru-15-pelajar-ipt-diberi-5-cuti-hari

Pelajar IPT diberi 5 cuti hari untuk balik mengundi

Adlan Farhan Azwan
25 Oct 2022 12:01pm
A
A
A

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung pada 19 November ini bakal menyaksikan hampir 1.4 juta belia berumur 18 hingga 20 tahun akan keluar mengundi buat kali pertama.

Sehubungan itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah membuat ketetapan dan meminta agar semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) memberi pelepasan kepada pelajar untuk pulang mengundi.

Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, tarikh pelepasan yang diberikan adalah dari 17 hingga 21 November ini bagi memberi tempoh yang cukup kepada pelajar untuk membuat perjalanan pergi dan balik ke lokasi mengundi.

“Keputusan ini juga diambil selaras usaha meraikan semangat pelaksanaan Undi 18 seperti yang telah diwartakan oleh kerajaan pada 1 Disember tahun lalu dan dikuatkuasakan pada 15 Disember 2021 (Seksyen 3 (a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019).

“Usaha ini adalah dengan matlamat untuk melahirkan generasi yang prihatin dengan sistem pemerintahan negara dan berupaya menyumbang kepada pembentukan kerajaan yang berdemokrasi, di samping meningkatkan kesedaran tentang kepentingan untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Oleh itu, semua IPT adalah diminta memastikan semua kelas dan aktiviti yang melibatkan pelajar dalam tempoh tersebut ditangguhkan dan diadakan pada suatu tarikh lain,” katanya menerusi satu kenyataan, baru-baru ini.

Sekiranya pelajar sudah mencapai usia 18 tahun pada bulan September lalu, nama anda telah didaftar secara automatik.

Bagi mengetahui butiran mengundi, anda boleh membuat semakan dengan dua kaedah iaitu Portal Semakan SPR https://mysprsemak.spr.gov.my dan aplikasi mudah alih mySPR Semakan.

Anda hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan untuk mengetahui lokasi daerah serta negeri mengundi, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

Artikel berkaitan

Undi18: KPT berperanan sediakan mahasiswa matang dalam politik - Noraini

Kenali 9 Perdana Menteri Malaysia

KPT perkasakan inisiatif Rumah Siswa, platform pemudah cara pelajar dapatkan tempat kediaman


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok