Kenali 9 Perdana Menteri Malaysia
Kenali 9 Perdana Menteri Malaysia

Kenali 9 Perdana Menteri Malaysia

Roshlawaty Md Raieh
23 Oct 2022 02:52pm
A
A
A

Perdana Menteri merupakan ketua kerajaan yang mengetuai pentadbiran negara. Mereka dilantik secara rasmi oleh Yang di-Pertuan Agong yang merupakan Ketua Utama Negara.

Sejak tahun 1957 hingga tahun 2021, negara kita mempunyai sembilan orang Perdana Menteri dan sebagai rakyat Malaysia, kita perlu mengetahui latar belakang Perdana Menteri bagi mengenang dan menghargai jasa mereka kepada negara.

Di sini, Sinar Bestari senaraikan sembilan orang Perdana Menteri untuk panduan kita bersama.

1) Perdana Menteri Pertama: Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah

- Dilahirkan pada 8 Februari 1903 di Alor Setar, Kedah.

- Berkahwin dengan Tun Sharifah Rodziah Syed Alwi Barakbah.

- Menjadi Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955 dan Perdana Menteri dari 31 Ogos 1957 hingga 22 September 1970.

- Diberi gelaran Bapa Kemerdekaan pada 30 ogos 1957 di Padang Kelab, Selangor.

- Meninggal dunia pada 6 Disember 1990.

2) Perdana Menteri Kedua: Tun Abdul Razak Hussein

- Dilahirkan pada 11 Mac 1922 di Pulai Keladi, Pekan, Pahang.

- Berkahwin dengan Tun Rahah Mohamed Noah.

- Menjadi Perdana Menteri dari 22 September 1970 hingga 14 Januari 1976.

- Mendapat gelaran Bapa Pembangunan atas sumbangan beliau.

- Meninggal dunia pada 14 Januari 1976.

3) Perdana Menteri Ketiga: Tun Hussein Onn

- Dilahirkan pada 12 Februari 1922 di Johor Bahru, Johor.

- Berkahwin dengan Tun Suhailah Mohamed Noah.

- Menjadi Perdana Menteri dari 15 Januari 1976 hingga 16 Julai 1981.

- Mendapat gelaran Bapa Perpaduan atas sumbangan beliau kepada negara.

- Meninggal dunia pada 29 Mei 1990.

4) Perdana Menteri Keempat: Tun Dr Mahathir Mohamad

- Dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.

- Berkahwin dengan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

- Menjadi Perdana Menteri dari 16 Julai 1981 hingga 30 Oktober 2003.

- Mendapat gelaran Bapa Pemodenan atas sumbangan beliau kepada negara.

5) Perdana Menteri Kelima: Tun Abdullah Ahmad Badawi

- Dilahirkan pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

- Berkahwin dengan Datin Seri Endon Datuk Mahmood dan selepas Datin Seri Endon meninggal dunia, beliau berkahwin dengan Tun Jeanne Abdullah.

- Menjadi Perdana Menteri dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009.

- Mendapat gelaran Bapa Pembangunan Modal Insan atas sumbangan beliau kepada pembangunan negara.

6) Perdana Menteri Keenam: Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak

- Dilahirkan pada 23 Julai 1953 di Kuala Lipis, Pahang.

- Berkahwin dengan Datin Sri Rosmah Mansor.

- Menjadi Perdana Menteri dari 3 April 2009 hingga 9 Mei 2018.

- Memperkenalkan Gagasan 1Malaysia.

7) Perdana Menteri Ketujuh: Tun Dr Mahathir Mohamad

- Menjadi Perdana Menteri kali kedua pada 10 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020.

- Memperkenalkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

8) Perdana Menteri Kelapan: Tan Sri Muhyiddin Yassin

- Dilahirkan pada 15 Mei 1947 di Muar, Johor.

- Berkahwin dengan Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

- Menjadi Perdana Menteri dari 1 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021.

9) Perdana Menteri Kesembilan: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

- Dilahirkan pada 18 Januari 1960 di Temerloh, Pahang.

- Berkahwin dengan Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.

- Menjadi Perdana Menteri pada 20 Ogos 2021.

Tugas-tugas Perdana Menteri

Perdana Menteri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan dalam Perlembangaan Persekutuan.

Perdana Menteri dibantu oleh Jemaah Menteri, kementerian-kementerian dan kakitangan perkhidmatan awam dalam pengurusan pentadbiran negara.

Tugas-tugas Perdana Menteri adalah seperti berikut:

1) Menasihati Yang di-Pertuan Agong berkaitan dengan pemerintahan negara.

2) Mengiringi Yang di-Pertuan Agong ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja.

3) Mencadangkan senarai Jemaah Menteri untuk dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

4) Mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri.

5) Menjadi ketua pentadbir utama yang merancang dan menyelaraskan semua dasar negara.

6) Memastikan semua dasar pembangunan negara dapat ditingkatkan demi kesejahteraan rakyat.

7) Menjalin hubungan diplomatik dan persahabatan dengan negara luar.

8) Mencadangkan pelantikan duta, diplomat dan konsulat bagi mewakili negara untuk menjalin kerjasama dengan negara lain.

Perdana Menteri mempunyai tanggungjawab untuk memajukan negara demi kesejahteraan rakyat. Oleh itu, kita perlu menghargai jasa dan sumbangan pemimpin demi kemajuan negara.

Pencapaian negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri

1) Kepimpinan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj

- Memperjuangkan kemerdekaan negara secara rundingan.

- Berjaya merealisasikan pembentukan Malaysia pada 16 September 1963.

2) Kepimpinan Tun Abdul Razak Hussein

- Mengembalikan keamanan negara selepas 13 Mei 1969 melalui pentadbiran Majlis Gerakan Negara (MAGERAN).

- Memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk membasmi kemiskinan rakyat dan menyusun semula masyarakat berbilang kaum.

3) Kepimpinan Tun Hussein Onn

- Memperkenalkan Amanah Saham Nasional Berhad untuk memudahkan kaum bumiputera memiliki saham dalam syarikat berhad.

- Memperkenalkan Program Rukun Tetangga untuk menggalakkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

4) Kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad

- Merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia sebagai negara maju melalui Wawasan 2020 dengan pembinaan Pusat Pentadbiran Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

- Memperkenalkan sektor perindustrian berteknologi tinggi melalui penubuhan The Heavy Industries Corporation of Malaysia Berhad (HICOM).

5) Kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi

- Memperkenalkan Koridor Wilayah Ekonomi untuk memastikan pembangunan ekonomi seimbang dan kemasukan pelaburan yang besar.

- Memperkenalkan Pelan Integriti Nasional (PIN) untuk membina masyarakat yang bermoral dan beretika.

6) Kepimpinan Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak

- Memperkenalkan Gagasan 1Malaysia pada 3 April 2009. Gagasan ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama antara kaum demi kesejahteraan negara.

- Melancarkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang bermatlamat untuk menjadikan negara berpendapatan tinggi selaras dengan Wawasan 2020.

7) Kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin

- Menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi (MTE) untuk menggalakkan pertumbuhan sosioekonomi dan meningkatkan pelaburan.

- Mengumumkan peruntukan besar dari segi kewangan untuk membantu rakyat susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik Covid-19.

8) Kepimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

- Memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia yang mengambil semangat institusi keluarga dalam memelihara agama, melindungi keselamatan, menjaga maruah dan memastikan nasib setiap ahli keluarga terbela.

- Konsep Keluarga Malaysia meraikan keterangkuman yang terdiri daripada pelbagai agama, bangsa, kaum dan usia.

Sumber: Buku Teks Sejarah Tahun 6

Artikel berkaitan 

Sekolah Sultan Alam Shah muncul juara Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri Ke-47

Tuah Haziq, pelajar 12 tahun teruja dapat temu bual Perdana Menteri

5 sekolah bertuah diumumkan pemenang ASSSB


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok