1730266
1730266

Pelajar Tingkatan 4 temui ajal ketika latihan merentas desa

Adlan Farhan Azwan
11 May 2022 09:18am
A
A
A

MARANG – Seorang pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Berangan menemui ajal semasa menjalani latihan merentas desa di persimpangan Kampung Asing, di sini, pada Selasa.

Mangsa, Aman Basri Muhd Rohaizi, 16, disahkan meninggal dunia oleh doktor bertugas sejurus selepas dibawa ke Klinik Pengkalan Berangan.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, sebelum kejadian, mangsa menjalani latihan penyesuaian laluan merentas desa pada pukul 8.34 pagi sebelum disedari pengsan oleh guru bertugas.

Baca juga

70 peratus asrama terbakar, 43 pelajar selamat ketika tarawih

Lagi kes buli melibatkan pelajar sekolah, pelajar cedera disebabkan rebut perempuan

“Guru berkenaan bersama rakan setugas di tempat kejadian telah membawa pelajar tersebut ke Klinik Pengkalan Berangan untuk menerima rawatan.

“Bagaimanapun doktor bertugas mengesahkan pelajar berkenaan telah meninggal dunia pada jam 9.05 pagi,” katanya kepada pemberita di sini, pada Selasa.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati pelajar berkenaan dikatakan terjatuh akibat daripada tersadung kaki secara tiba-tiba ketika latihan.

“Beberapa individu di lokasi kejadian cuba membantu mangsa dengan mengangkat dan memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR).

“Selepas beberapa minit, mangsa dikatakan mengalami masalah pernafasan dengan bernafas secara perlahan sebelum dikejarkan ke klinik berdekatan,” jelasnya.

Beliau berkata, bapa mangsa telah membuat laporan polis berhubung kejadian dan enggan melakukan bedah siasat ke atas mangsa.

“Bapa mangsa telah membuat laporan polis berhubung kejadian dan tidak mahu bedah siasat dijalankan ke atas mangsa kerana telah berpuas hati dengan punca kematian.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

“Bapa mangsa juga menyatakan tidak akan mengambil sebarang tindakan sekiranya terjadi perkara berbangkit di kemudian hari,” katanya.

Mohd Zain berkata, setelah melakukan pemeriksaan fizikal, terdapat luka pada bahagian atas kening sebelah kanan, calar di bawah dagu dan belakang tangan sebelah kiri yang dipercayai berlaku semasa mangsa terjatuh.

“Hasil pemeriksaan ke atas fizikal mangsa mendapati tiada unsur jenayah dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok