Kredit foto: Pexels
Kredit foto: Pexels

Pembinaan semula kantin di SK (LKTP) Kampung Awah dalam perancangan KPM

FIRDAUS HANAFI MOHD ZAIN
13 Feb 2023 07:55pm
A
A
A

Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai perancangan untuk membina semula kantin di Sekolah Kebangsaan (SK) Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) Kampung Awah Maran, Pahang berikutan isu kerosakan kantin sehingga menyukarkan 230 murid untuk makan pada waktu rehat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan KPM baru-baru ini, mereka sentiasa cakna dan prihatin terhadap isu yang melibatkan kebajikan dan keselamatan murid sekolah.

Katanya, projek pembinaan semula kantin sekolah itu berada dalam senarai 74 projek daif yang diperakukan oleh KPM untuk Rolling Plan ke-3 (RP3) tahun ini.

Ujar KPM lagi, kelulusan untuk projek berkenaan kini tertakluk kepada pembentangan Bajet 2023 yang akan diadakan pada 24 Februari ini.

“Ini kerana ia melibatkan skop untuk merobohkan bangunan daif sedia ada dan membina semula bangunan baharu.

“Ia termasuk kantin dan kemudahan lain mengikut piawaian serta mesra Orang Kurang Upaya (OKU), perolehan peralatan dan kelengkapan baharu,” ujarnya.

Baru-baru ini tular isu murid sekolah terbabit yang terpaksa makan di lokasi tidak sepatutnya seperti di tepi longkang dan lereng bukit disebabkan kantin sekolah dilaporkan rosak sejak 2016 masih belum dibaiki.

Malah bagi guru serta kakitangan sekolah pula terpaksa membungkus makanan dan makan di dalam bilik guru susulan daripada keadaan itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, KPM turut menyatakan pihak sekolah telah meletakkan pita larangan masuk ke kawasan tersebut sementara menunggu proses pembinaan semula.

Katanya, tindakan berkenaan demi keselamatan warga sekolah selepas kawasan tersebut disahkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai tidak selamat.

Jelasnya lagi, pihak sekolah telah menyediakan khemah khas bagi digunakan sementara waktu oleh murid dan guru semasa waktu rehat.

“KPM sentiasa komited untuk memastikan sekolah berada dalam keadaan baik, selamat serta kondusif untuk keselesaan semua murid dan guru,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok