No Image Caption

Pendedahan industri media perlu diselitkan fakta, kebenaran

Festival TV PSS, platform utama mengetengahkan bakat murid dalam bidang media

AZLEENDA SAHALUDINAZLEENDA SAHALUDIN
13 Nov 2024 10:00am

Pendedahan dalam industri media khususnya kewartawanan perlu digandingkan dengan ‘magnet’ fakta dan kebenaran kerana tanpa kedua-duanya media akan menjadi lompong, kosong serta sia-sia.

Itulah antara pesanan yang dilontarkan Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan, 'Atiqah Syairah Shaharuddin ketika merasmikan Festival TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) yang menyaksikan pentas penganugerahan kepada murid sekolah rendah dan menengah seluruh negara dalam keterlibatan mereka menghasilkan video kreatif mewakili sekolah masing-masing.

Menurutnya, apabila mempunyai hobi melibatkan bidang media ia tidak hanya harus memfokuskan tentang kamera semata-mata tetapi perlu ada kemampanan serta minat yang bakal membentuk bakat murid-murid, seterusnya menjadi aspek penting pada masa hadapan.

“Saya faham tidak mudah untuk mendokong aspirasi murid kerana di satu sekolah sahaja ada banyak kelab hendak didokong.

“Dan setiap daripada murid ini mempunyai ruang serta variasi untuk menjadi satu bentuk kepelbagaian.

"Kerana itu, dengan adanya platform yang sebelum ini Jelajah TV PSS dan kini Festival TV PSS dapat menjadi satu tempat untuk mengetengahkan bakat dan paling utama mengangkat kemampuan murid-murid ke tahap lebih tinggi,” katanya ketika ucapan perasmian Festival TV PSS Sinar Bestari Peringkat Kebangsaan 2024 yang berlangsung di Karangkraf pada Rabu lalu.

No Image Caption

Dalam pada itu, Editor Eksekutif Lifestyle Sinar Harian, Meen Tahrin berkata, portal dan akhbar Sinar Bestari akan melebarkan sayap dalam bidang pendidikan menerusi penubuhan Akademi Pendidikan Sinar Bestari (Akademi) pada tahun depan.

Artikel Berkaitan:

“Akademi ini akan menjadi platform latihan, kursus, berkongsi pengalaman dan pengetahuan bersama tenaga pendidikan dan pelajar sekolah seluruh negara.

“Kita juga bercadang melaksanakan pelbagai pertandingan seperti robotik, kawad kaki dan apa sahaja pertandingan melibatkan pelajar bagi mendedahkan mereka tentang pembelajaran luar bilik darjah.

“Paling utama adalah kita mahu pelajar merasai dan menimba pengalaman lebih luas dengan menuntut ilmu bersama Kumpulan Karangkraf agar lebih ramai yang mendapat manfaat daripada penubuhan akademi tersebut,” katanya.

No Image Caption

Untuk makluman, Jelajah TV PSS anjuran Sinar Bestari dengan kerjasama Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akhirnya melabuhkan tirai dengan penganjuran majlis anugerah Festival TV PSS Sinar Bestari Peringkat Kebangsaan 2024 yang menjadi platform kepada murid sekolah rendah dan menengah mengetengahkan bakat dalam bidang kewartawanan, media dan pengacaraan.

Fokus utama festival ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menonjolkan kemahiran berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), teknik penyampaian berkesan, kemahiran berfikir dan komunikasi.

No Image Caption

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp