
Penjenamaan semula nama sekolah Cina kepada SJKC Cheng Ho masih diperhalusi
Kerajaan Melaka masih memperhalusi cadangan penjenamaan semula nama sebuah sekolah Cina kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Laksamana Cheng Ho dengan mana-mana Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) yang berminat.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pada peringkat awal, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka mengadakan sesi libat urus dengan SJKC Jasin Lalang untuk menyampaikan hasrat kerajaan negeri itu, namun majoriti ibu bapa dan LPS sekolah tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan.
"Cadangan terbaharu iaitu JPN Melaka mengadakan sesi libat urus bersama LPS dan Ahli Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru SJKC Simpang Bekoh bagi membawa hasrat sama untuk penjenamaan semula nama sekolah itu.
"Terdapat beberapa cadangan dikemukakan LPS sekolah terbabit iaitu menerima nama baharu dengan mengekalkan nama asal atau menerima nama baharu tanpa mengekalkan nama asal dengan syarat mewujudkan sebuah Bilik Sejarah Sekolah di sekolah baharu itu bagi menyimpan semua dokumen berkaitan dengan sejarah SJKC Simpang Bekoh," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri pada Isnin.
Rahmad menjawab soalan dikemukakan Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) yang mahu tahu apakah status cadangan penjenamaan semula nama sekolah kepada SJKC Laksamana Cheng Ho bagi usaha mengeratkan hubungan antarabangsa Melaka dan China sejak 620 tahun dahulu.
Beliau berkata, sesi libat urus dilaksanakan dengan SJKC Simpang Bekoh memandangkan sekolah berkenaan dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid, yang mempunyai 11 murid membabitkan dua murid Cina dan sembilan murid Melayu selain tujuh guru.
Kerajaan negeri sebelum ini menyatakan hasrat untuk menjenamakan semula nama sebuah sekolah Cina kepada SJKC Laksamana Cheng Ho bagi mengabadikan semangat hubungan diplomatik antara Melaka dan China. - Bernama