
Penting fahami impak buli!
Slot bersama PDRM dan KKM dedah cabaran alam remaja
Cuti sekolah sudahpun berakhir menandakan rutin sebagai seorang pelajar pun bermula.
Namun, minggu terakhir baru-baru ini diisi dengan program bermalam selama dua hari satu malam kepada lebih 60 pelajar di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam.
Pelajar yang berusia antara sembilan dan 15 tahun itu, diberi pendedahan untuk kembali fokus kepada pelajaran dan mengejar impian serta cita-cita. Sepanjang A Night at Karangkraf berlangsung, antara aktiviti menarik disediakan ialah perkongsian disiplin dan impak buli oleh wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Shah Alam.

Dalam perkongsian itu, peserta diberi peluang merasai sendiri pengalaman sebagai pembuli dan impak yang berlaku terhadap dirinya di mata masyarakat. Sarjan Nik Mohamad Hafiz Hashim berkata, pelajar perlu mendapat maklumat tepat mengenai keburukan buli dan kes jenayah sejak dari awal persekolah. "Ia supaya wujud kesedaran bahawa perilaku itu tidak baik dan amat buruk di mata orang ramai.
"PDRM faham bahawa ada sesetengah ibu bapa atau penjaga yang sangat sibuk dan tidak sedar bahawa anak-anak mereka ini mungkin jadi pembuli atau mangsa.
"Terima kasih diucapkan kepada Sinar Bestari kerana berjaya mengetengahkan isu ini dalam A Night at Karangkraf," katanya selepas membuat perkongsian bersama peserta di Dewan Kompleks Karangkraf pada Khamis lalu.

Sementara itu, Nik Mohamad Hafiz menegaskan bahawa anggota polis bukanlah sesuatu yang perlu digeruni pelajar. Katanya, slogan PDRM ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’, iaitu mendampingi masyarakat sebagai medium keluar daripada bahaya.
“Polis bukan untuk ditakuti. Kami juga akan ke sekolah setiap bulan.
“Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) akan ke setiap institusi pendidikan untuk memberi pandangan atau pendapat kepada pelajar agar mereka mengetahui kehadiran polis.
“Kita juga akan bersua kenal dengan pelajar supaya tanggapan ‘takut’ itu tidak berlaku lagi. Jadi, sebarang kejadian jenayah yang berlaku akan terus dilaporkan serta-merta,” katanya.

Perkongsian Dr Rabiatul Adawiyah
Para peserta A Night at Karangkraf paling bertuah kerana mendapat pendedahan khas mengenai kesihatan remaja.
Tidak semua pelajar yang menginjak alam remaja sedia maklum mengenai perubahan tubuh badan sendiri.
Doktor Rabiatul Adawiyah Abdul Naser dari Klinik Kesihatan Daerah Petaling (PKD) mewakili Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), memberi pendedahan itu kepada lebih 60 peserta.
Peserta didedahkan secara umum mengenai penjagaan diri termasuk perkara dilarang berlaku sepanjang usia remaja.
Reaksi

"Awalnya saya agak risau dan takut. Alhamdulillah, sudah boleh biasakan diri dan mula kenal dengan rakan-rakan baharu. Banyak juga perkongsian disediakan membuatkan saya tidak bosan sepanjang program. Selalunya kem cuti sekolah yang saya hadiri sebelum ini tidak ada aktiviti yang banyak seperti A Night at Karangkraf, semuanya belajar sahaja. Saya suka program ini sebab banyak belajar perkara baharu.”
- Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Seri Putra, Hanan Sufiyyah Mohd Salman, 12.

"Saya hendak sertai lagi program ini nanti kerana ada lawatan kerjaya yang membolehkan kami lihat cara karyawan Kumpulan Sinar Karangkraf bekerja dan menghasilkan surat khabar, novel serta al-Quran. Sekiranya diberi peluang lagi, saya ingin mengajak lebih ramai kawan untuk sertai program A Night at Karangkraf!"
- Pelajar SK Saujana Utama, Wan Muhammad Syahmi Irfan Wan Shahril, 12.

"Saya dapat ramai kawan baharu dan tidur bersama mereka untuk satu malam. Saya suka aktiviti eksplorasi malam walaupun takut tapi itu pengalaman yang tidak boleh dilupakan. Ini pengalaman pertama tidur jauh daripada keluarga. Pada mulanya, memang saya sedih dan takut, tetapi apabila ada kawan baharu, rasa seronok sangat."
- Pelajar SK Seksyen 13, Nuha Amna Ijjas Norjasmeen, 11.