Gambar hiasan-kredit Unsplash
Gambar hiasan-kredit Unsplash

Permohonan UPUOnline dibuka bermula hari ini

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAMNADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
07 Feb 2023 01:15pm

Permohonan kemasukan pelajar sesi akademik 2023/2024 ke program asasi, sijil, diploma dan Ijazah Sarjana Muda melalui UPUOnline akan dibuka bermula hari ini hingga 28 Mac depan bagi permohonan Fasa Pertama dan 15 Mei hingga 12 Jun depan bagi Fasa Kedua.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan berkata, permohonan dibuka bagi kemasukan ke 20 Universiti Awam (UA), 36 politeknik, 105 kolej komuniti dan empat Institusi Kemahiran Tinggi Awam (ILKA).

Menurut KPT, permohonan terbuka kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf untuk semua program pengajian bagi permohonan Fasa Pertama manakala hanya program pengajian yang tidak bertemu duga atau ujian dibuka bagi permohonan Fasa Kedua.

“Selaras dengan hasrat kerajaan bagi meringankan beban rakyat dan meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi, sukacita diumumkan kos sebanyak RM15 sebagai Bayaran Proses UPUOnline bagi mendapatkan Unik ID akan ditanggung sepenuhnya oleh KPT.

“Dijangkakan lebih 350,000 calon lepasan SPM dan STPM atau setaraf akan mendapat manfaat daripada inisiatif ini yang akan membawa kepada implikasi kewangan sebanyak RM5.25 juta kepada kementerian,” ujar KPT lagi.

Menurut kenyataan itu, semua calon yang berkelayakan dipelawa mengambil peluang tersebut bagi menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi.

KPT turut menjelaskan terdapat 471 program pengajian ditawarkan kepada lepasan SPM dan 1,088 program pengajian untuk lepasan STPM atau setaraf oleh UA, politeknik, kolej komuniti dan ILKA seluruh negara.

Artikel Berkaitan:
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp