Pkharuddin berucap pada majlis amanat KPPM sempena pembukaan sesi persekolahan 2023/2024 di Putrajaya hari ini.
Pkharuddin berucap pada majlis amanat KPPM sempena pembukaan sesi persekolahan 2023/2024 di Putrajaya hari ini.

Peruntukan PCG tidak dikurangkan, diunjur berdasarkan angka pelajar setiap 1 Oktober

NADZARUL AMIR ZAINAL AZAMNADZARUL AMIR ZAINAL AZAM
15 Mar 2023 08:01pm

Peruntukan Bantuan Geran Per Kapita (PCG) Mata Pelajaran di sekolah disahkan tidak pernah dikurangkan sebagaimana didakwa akan dilaksanakan mulai sesi baharu persekolahan 2023/2024.

Menjelaskan perkara itu, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata, ia tidak pernah dibincangkan di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menurunkan PCG ke sekolah-sekolah.

Beliau menambah, dakwaan itu berkemungkinan ada kekeliruan yang timbul kerana bantuan PCG itu didasarkan kepada angka pelajar yang ada pada setiap 1 Oktober pada satu-satu tahun.

Justeru, tuturnya, peruntukan PCG bagi sesi akademik 2023/ 2024 diunjurkan berdasarkan jumlah pelajar setiap sekolah pada 1 Oktober 2022.

"Jadi mungkin ada sekolah pada tarikh 1 Oktober itu bilangan pelajar kurang berbanding tahun semasa. Jadi ada nampak pengurangan itu.

"Semuanya akan dapat 100 peratus dengan bilangan pelajar yang ada pada tahun semasa selepas kita buat kiraan penjajaran penyelarasan. Oleh itu tidak ada isu kerana perkara ini tidak pernah pun dikeluarkan secara rasmi oleh KPM," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis amanat sempena pembukaan sesi persekolahan 2023/2024 di Putrajaya hari ini.

Pkharuddin (dua dari kanan) pada majlis amanat KPPM sempena pembukaan sesi persekolahan 2023/2024 di Putrajaya hari ini
Pkharuddin (dua dari kanan) pada majlis amanat KPPM sempena pembukaan sesi persekolahan 2023/2024 di Putrajaya hari ini

Artikel Berkaitan:

Beliau mengulas berhubung dakwaan peruntukan PCG Mata Pelajaran di sekolah didakwa dikurangkan lebih 14 peratus mulai sesi baharu persekolahan 2023/2024 yang akan bermula 20 Mac ini.

Keadaan itu menimbulkan tanda tanya dan kekhuatiran guru kerana ia boleh menjejaskan pembelajaran kira-kira 2.6 juta pelajar sekolah menengah.

Tindakan itu menyebabkan guru-guru bakal berdepan kekurangan dana untuk merancang program tambahan akademik dan membeli modul peperiksaan bagi murid di semua tingkatan hanya kerana PCG yang ada akan digunakan untuk murid tingkatan lima yang bakal menghadapi peperiksaan utama.

Mengulas lanjut, Pkharuddin berkata, perkara seumpamanya turut berlaku melibatkan peruntukan bajet keseluruhan bagi KPM yang mana sudah menjadi amalan setiap tahun peruntukan di awal tahun diturunkan sebanyak 70 peratus.

Justeru, katanya, jumlah 70 peratus ini sudah pasti nampak kurang daripada jumlah setahun daripada tahun lepas, sedangkan apa yang sepatutnya dikira ialah jumlah 70 peratus berbanding tahun lepas dan berapa emolumen yang ada di sekolah berkenaan.

"Bajet 2023 sedang dibahaskan di Parlimen dan belum diluluskan, jadi kita dapat mini bajet.

"Mini bajet ini kita dapat 50 peratus daripada peruntukan KPM dan memang sudah jadi amalan setiap tahun peruntukan di awal tahun kita turunkan sebanyak 70 peratus.

"Jadi selepas bajet diluluskan dengan jajaran bilangan pelajar yang ada pada tahun semasa, maka dikira semula, itu yang akan ditambah untuk menjadikan bantuan PCG mengikut kelayakan yang diperoleh setiap sekolah itu," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp