Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir Zambry (tiga dari kiri) menyerahkan replika kad WPP berjumlah RM1,500 kepada salah seorang pelajar sambil disaksikan oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim (dua, kiri) dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid (kanan) pada Sabtu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir Zambry (tiga dari kiri) menyerahkan replika kad WPP berjumlah RM1,500 kepada salah seorang pelajar sambil disaksikan oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim (dua, kiri) dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid (kanan) pada Sabtu.

PTPTN tawar RM39.8 juta WPP kepada lebih 26,000 pelajar

23 Sep 2024 07:40am

Seramai 26,534 pelajar yang menerima tawaran menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda ke Institut Pengajian Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) menarik nafas lega apabila mereka ditawarkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi sesi Oktober ini.

Menurut PTPTN, ia melibatkan peruntukan sebanyak RM39.8 juta termasuk RM3.43 juta kepada seramai 2,287 orang pelajar di Perak yang layak menerimanya.

Pemberian WPP berjumlah RM1,500 kepada setiap pelajar yang layak bertujuan menampung sebahagian perbelanjaan bagi persiapan awal pelajar memasuki IPTA Universiti Awam dan Politeknik sekali gus menjaga kebajikan pelajar.

WPP ini diberikan kepada pelajar-pelajar warganegara Malaysia yang telah memberikan persetujuan menerima pinjaman tersebut semasa membuat permohonan kemasukan IPTA melalui UPUOnline atau melalui portal kemasukan IPTA.

Selain itu, pemberian WPP itu juga diberikan kepada pelajar yang mana ibu bapa atau penjaga mereka merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria kelayakan yang telah ditetapkan.

Sementara itu, penerima yang ditemui melahirkan rasa syukur kerana pemberian WPP tersebut dapat meringankan beban keluarganya.

Bagi Ahmad Izham Kamarulizam, 22, WPP sangat membantunya dalam urusan kemasukan ke Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu.

Menurutnya, wang pendahuluan RM1,500 akan digunakan untuk membeli barang-barang keperluan termasuk membayar yuran.

Artikel Berkaitan:

"Terima kasih kepada PTPTN atas inisiatif WPP ini kerana ia amat membantu bakal-bakal mahasiswa seperti saya untuk mendaftar ke universiti.

AHMAD IZHAM
AHMAD IZHAM

"Dengan adanya WPP ini memudahkan proses mendaftar masuk. Kalau nak tunggu bantuan lain atau biasiswa mungkin ambil masa agak panjang," katanya yang akan menyambung pengajian dalam bidang Kewangan Islam di universiti berkenaan.

Seorang lagi penerima, Eliza Ling Zhin Yee, 20, dari Sitiawan turut menyambut baik pemberian WPP kepada pelajar yang telah menerima tawaran menyambung pengajian.

Menurutnya, WPP yang disediakan oleh pihak PTPTN dapat meringankan beban bagi urusan pembayaran yuran dan pembelian keperluan-keperluan lain memandangkan bapanya tidak bekerja disebabkan masalah kesihatan.

"Wang ini pertamanya akan digunakan untuk membayar yuran terlebih dahulu dan bakinya barulah saya guna untuk beli keperluan lain seperti laptop atau tablet untuk kegunaan di universiti nanti.

ELIZABETH LING
ELIZABETH LING

"Bagi saya WPP sangat membantu saya. Saya rasa bersyukur dan berterima kasih kepada PTPTN. Wang ini akan saya gunakan sebaik mungkin," katanya yang menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang forensik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menurut K Saranya, 20, pula, sebagai penerima WPP ini, wang tersebut akan digunakan secara berhemah bagi membantu kelancaran mendaftar masuk ke Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Katanya, barang-barang keperluan asas akan menjadi keutamaan untuk dibeli menggunakan wang pendahuluan tersebut.

SARANYA
SARANYA

"Bagi keluarga yang kurang berkemampuan, sudah tentulah WPP ini membantu memudahkan urusan kemasukan ke universiti nanti.

"Terima kasih banyak-banyak kepada PTPTN kerana membantu melalui WPP ini," katanya yang berasal dari Ayer Tawar.

Majlis Penyerahan WPP kepada pelajar-pelajar disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir,

Hadir sama pada majlis itu, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim; Ahli Dewan Negara, Datuk Dr Azhar Ahmad; Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Perak, Andi Nurali Mohamed.

Pada majlis tersebut, Zambry menyampaikan WPP kepada sebahagian 185 pelajar telah ditawarkan WPP melibatkan peruntukan berjumlah RM277,500 di kawasan Parlimen Lumut dan seramai 30 pelajar melibatkan peruntukan berjumlah RM45,000 bagi kawasan Parlimen Beruas.

Dalam pada itu, pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP mulai 24 September 2024 melalui aplikasi myPTPTN dan boleh menunaikannya di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara.

Penerima WPP bergambar bersama Zambry (tujuh, kiri) dan Norliza (enam, kiri) ketika Majlis Penyerahan WPP PTPTN di sebuah hotel di sini pada Sabtu.
Penerima WPP bergambar bersama Zambry (tujuh, kiri) dan Norliza (enam, kiri) ketika Majlis Penyerahan WPP PTPTN di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

Pelajar hanya perlu membawa bersama cetakan surat tawaran WPP dan juga MyKad pelajar dengan tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan iaitu mulai 24 September 2024 hingga 23 November 2024.

Sejak WPP diperkenalkan pada tahun 1999 hingga 31 Ogos 2024, seramai 980,120 pelajar telah menerima manfaat inisiatif tersebut dengan peruntukan berjumlah RM1.45 bilion.

Untuk makluman, pelajar boleh membuat permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan bagi setiap IPTA dengan syarat perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka melalui aplikasi berkenaan.

Selain itu pelajar juga boleh merujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar universiti dan Politeknik masing-masing atau terus menghubungi PTPTN sekiranya terdapat sebarang pertanyaan.

Maklumat lanjut berkenaan WPP PTPTN dan pinjaman PTPTN juga boleh diperoleh melalui aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp