
Remuk hati ibu, impian anak jadi pemimpin kerohanian tidak kesampaian
Kehilangan puteri tunggal yang ditatang selama 13 tahun meninggalkan kesan amat mendalam kepada seorang ibu.
Lebih menghibakan apabila impian anaknya untuk menjadi penggerak utama kepimpinan kerohanian pelajar (Badar) di sekolah terkubur bersama jasadnya selepas disahkan meninggal dunia akibat terjatuh dari bangunan asrama sekolah di Papar pada Rabu lalu.
Menurut ibu kepada pelajar tersebut yang hanya dikenali sebagai Noraizah, kehilangan puteri tunggalnya yang digambarkan sebagai seorang anak yang baik, bercita-cita tinggi dan sangat meminati bidang kepimpinan Islam sejak di bangku sekolah rendah amat memberi kesan kepadanya ketika ini.
"Arwah anak yang ceria, suka bergurau, selalu minta saya doakan agar dia dapat jawatan Badar di sekolah. Dia sangat berharap terpilih menjadi Badar, pengawas yang dekat dengan aktiviti kerohanian.
"Arwah ada menyatakan bahawa pemilihan Badar di sekolah berkenaan biasanya dilakukan sekitar bulan Julai hingga Disember untuk dinilai dan disokong berdasarkan sahsiah diri," katanya pada Sabtu.
Noraizah yang juga bertugas sebagai guru tidak menyangka tragedi itu akan menimpa anaknya walaupun mereka baru sahaja bersama pada hujung minggu lalu.
Mengimbas semula pertemuan terakhir mereka, Noraizah berkata, pada Sabtu lalu terdapat aktiviti gotong-royong di sekolah tersebut dan arwah pulang semula ke Sipitang pada hari yang sama sebelum kembali ke asrama pada petang Ahad.
"Hari Sabtu itu saya gotong-royong di sekolah. Saya sokong sebab itu datang dari Sipitang. Ramai pelajar dan ibu bapa tegur saya, pelajar-pelajar pun mesra. Mereka tahu saya ibu kepada arwah.
"Lepas gotong-royong, arwah balik ke Sipitang dan petang Ahad saya hantar dia masuk asrama semula. Macam biasa, saya beri dia motivasi dan nasihat sebelum masuk ke asrama," katanya.
Katanya lagi, kali terakhir mereka berbual melalui telefon hanya selama dua minit, iaitu pada malam Isnin lalu.
"Malam Isnin dia hubungi saya menggunakan telefon awam, kami bercakap lebih kurang dua minit saja. Masa itu dia ada cakap macam 'Mama, ada kakak mahu jumpa Zara'," katanya.
Bagaimanapun, demi menghormati siasatan, beliau tidak menulis apa-apa di platform media sosial kecuali di akaun TikTok yang dimiliki anaknya sebelum ini.
"Perkara ini sudah viral, jadi jangan percaya. Kini masih dalam siasatan polis. Saya sendiri pun tak berani menulis di mana-mana.
"Yang dalam TikTok itu, anak saya punya akaun tetapi itu adalah luahan perasaan anak saya yang saya sampaikan," katanya.
Beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan menegaskan bahawa apa yang berlaku terlalu tragis untuk ditelan, lebih-lebih lagi Zara adalah satu-satunya anak yang dimilikinya.
"Dia anak tunggal saya, satu-satunya, anak kesayangan. Saya hanya mampu berserah.
"Remuk dan hancur hati saya dengan pemergian si cantik Zara. 'Tagline' kami anak-beranak dan sering dilafazkan apabila dia hubungi saya atau selepas menghantarnya ke asrama, 'Sayang Cinta Rindu, Muahh I love you'," kongsinya dalam nada sebak.