No Image Caption

Sabah juara bahas ala Parlimen sekolah rendah tahun ini

NURBAYA ABDUL REZAKNURBAYA ABDUL REZAK
16 Oct 2024 08:00am

Usul 'Tangani Rasuah Tanggungjawab Komuniti' pada pusingan akhir Pertandingan Bahas Bahasa Melayu ala Parlimen Sekolah Rendah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membawa tuah buat pasukan pelajar dari Sabah.

Dalam pertandingan membabitkan 16 buah negeri dengan penyertaan seramai 80 orang murid sekolah rendah itu, pasukan negeri di bawah bayu muncul sebagai johan menewaskan peserta dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selaku naib juara.

Juara membawa pulang piala pusingan, trofi, sijil dan wang tunai RM5000 yang disumbangkan oleh SPRM.

Ia diikuti naib johan menerima wang tunai RM4,000 berserta trofi dan sijil. Manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya yang meraih kedudukan ketiga tidak pulang dengan tangan kosong apabila diberikan wang tunai RM3,000, selain pasukan Johor menduduki tempat keempat dengan wang tunai RM2,000.

No Image Caption

Menariknya, peserta yang mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Muhammad Nazhireen Naim Khairil Izwa dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik.

Dia membawa pulang wang tunai RM500, trofi dan sijil sebagai penghargaan di atas kemahiran dan kehebatnya dalam membahaskan isu.

Pertandingan yang berlangsung selama empat hari bermula 7 Oktober lalu di Sekolah Kebangsaan Layang-Layangan dan Kompleks Darul Kifayah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan itu, bukan sekadar untuk memperkukuhkan kemahiran perbahasan murid, sebalikna menanam kesedaran akan pentingnya peranan komuniti dalam membanteras rasuah, selaras matlamat SPRM dan KPM.

Sinar Bestari difahamkan, Pertandingan Bahas Bahasa Melayu ala Parlimen Sekolah Rendah SPRM-KPM Peringkat Kebangsaan 2024 ini turut menyokong substrategi dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028; untuk mengukuhkan kegiatan yang bersesuaian dengan umur di sekolah rendah yang mengintegrasikan etika, integriti dan antirasuah.

Dengan semangat yang tinggi, pertandingan tahun ini diharapkan akan terus menjadi platform utama bagi melahirkan generasi muda yang berilmu, beretika, dan mampu berfikir secara kritis dalam membina negara yang berintegriti dan menjauhi rasuah.

No Image Caption

Untuk rekod, pertandingan ini mendapat kerjasama Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) KPM dan SPRM.

Majlis penutupan pertandingan dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Abidin Marjan.

Hadir sama Ketua Penolong Pengarah BSKK KPM, Rizawani Mustafa, wakil-wakil SPRM termasuk Ketua Cawangan Pendidikan, PKPj Farah Najwa Abdul Aziz dan Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Labuan, PPj Muhammat Azis Malmod.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp