(Gambar hiasan)
(Gambar hiasan)

'Sedih ada pelajar terpaksa sara keluarga hingga tidak duduki SPM' - Luah Pengarah JPN Sabah

ASYIKIN ASMINASYIKIN ASMIN
24 Apr 2025 04:02pm

Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin, meluahkan rasa simpati dan sedih apabila mendapati ada calon yang tidak hadir menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) disebabkan terpaksa bekerja untuk menyara keluarga.

Beliau memaklumkan, seramai 905 calon tidak hadir menduduki SPM tahun lalu dan angka itu menurun berbanding 984 calon pada tahun sebelumnya.

Menurutnya, kebanyakan calon yang tidak hadir berasal daripada golongan B40 yang memerlukan mereka membantu keluarga mencari rezeki.

"Kita telah mengenal pasti calon-calon yang tidak hadir ke sekolah dan tidak mengambil peperiksaan SPM, antaranya berpunca daripada masalah keluarga pelajar itu sendiri.

"Dalam kalangan pelajar itu, ada yang terpaksa bekerja untuk menyara kehidupan dan sebagainya. Kita agak sedih dan simpati kerana kebanyakkan mereka adalah dari kumpulan B40," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengumuman keputusan SPM 2024 bagi negeri Sabah di Wisma Pendidikan, Likas pada Khamis.

Beliau berkata, selain faktor keluarga, ada juga calon yang sudah berkahwin, menyebabkan mereka tidak hadir ke sekolah dan seterusnya tidak menduduki SPM.

"Ada juga mereka ini telah mendirikan rumahtangga, yang ini kita tidak dapat elakkan," katanya.

Bagaimanapun, Raisin menegaskan pihaknya komited memastikan pelajar tidak tercicir daripada sistem pendidikan dan terus menduduki peperiksaan, seterusnya mengurangkan jumlah ketidakhadiran tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Memang membimbangkan, walaupun seorang pelajar tidak hadir pun saya bimbang, apalagi melibatkan jumlah ini.

"Sebab itu kita mengadakan intervensi, sekarang kita mengambil langkah mengenal pasti latar belakang pelajar tersebut sejak di Tingkatan Empat lagi yang berisiko untuk tidak hadir ke sekolah dan akhirnya tidak menduduki SPM.

"Malah di Tingkatan Satu pun kita mulakan jika berisiko tidak hadir ke sekolah dan kita mengadakan intervensi yang sesuai untuk memastikan mereka mesti menamatkan persekolahan selama 11 tahun iaitu enam tahun di sekolah rendah dan lima tahun di sekolah menengah.

"Jika tahun tersebut seramai 40,000 murid Tahun Satu mendaftar, 11 tahun kemudian kita harap angka yang sama juga yang ambil SPM kecuali melibatkan kematian atau berpindah ke negeri lain," tegasnya.

Tambah Raisin lagi, antara inisiatif lain yang turut diambil oleh pihak sekolah termasuk memujuk pelajar untuk menduduki peperiksaan dengan menghantar soalan peperiksaan sebagai galakan.

"Akhirnya mereka akan datang ke dewan peperiksaan setelah kita memujuk dengan memberitahu bahawa pentingnya mereka mengambil peperiksaan supaya nanti apabila berusia 18 tahun ke atas sekurang-kurangnya mereka mempunyai sijil.

"Saya juga telah mengadakan usaha menghantar setiap hari risalah memaklumkan jadual peperiksaan kepada calon dan ibu bapa. Itu sebabnya jumlah ini berkurangan berbanding tahun sebelumnya," ujarnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp