Sesi ziarah Fadhlina (kiri) ke rumah Amier Azrulz Addey baru-baru ini.
Sesi ziarah Fadhlina (kiri) ke rumah Amier Azrulz Addey baru-baru ini.

Pelajar SMK Syed Alwi tetap semangat mahu duduki SPM walaupun diuji kanser tulang rahang!

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
24 Mar 2025 04:00pm

Kisah hidup pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Alwi, Kangar, Perlis, Amier Azrulz Addey Mohd Tajuddin begitu mengganggu fikiran Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Masakan tidak, diuji dengan penyakit kanser tulang rahang sambil berusaha menjual air balang bagi menampung kos rawatan dan kemoterapinya sudah cukup membuatkan Fadhlina sebak dengan dugaan pelajar ini.

Beliau yang berkesempatan menziarahi Amier Azrulz Addey di rumahnya baru-baru ini, sempat berbual dan berkongsi cerita dengan pelajar berkenaan.

Turut serta dalam pertemuan itu adalah ahli keluarga terdekat calon SPM tersebut.

Menurut Fadhlina, Amier Azrulz Addey sangat kuat semangat, cekal dan iltizamnya untuk meneruskan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan datang walaupun sudah berbulan cuti sakit.

"Dia merupakan pelajar yang baik, aktif dan sentiasa mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan sebelum jatuh sakit.

"Walaupun dalam keadaan sedemikian, dia tetap bersemangat mahu mengambil SPM.

"Amier Azrulz Addey telah mengajar saya tentang satu perkara yang sangat signifikan, bahawa pendidikan dalam situasi apa pun adalah keutamaan. Keazamannya untuk meneruskan sesi persekolahan sangat mengagumkan saya," demikian catatan Fadhlina di Facebook pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

Menyedari kesukaran yang dihadapi, Fadhlina berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kini sedang menyusun jadual pembelajaran untuk Amier Azrulz Addey.

Dalam masa sama, KPM bakal mengagihkan tablet bagi memudahkannya mengikuti pelajaran walaupun ketika menjalani rawatan di hospital.

Sementara itu, Fadhlina memaklumkan bahawa dirinya telah menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor bagi mendapatkan kewangan khas untuk rawatan pelajar tersebut.

"Jangan risau YB (Yang Berhormat). Kami akan bantu. Anggap sahajalah selesai," ujar Mohd Nazim susulan kisah Amier Azrulz Addey dikongsi Fadhlina kepadanya.

No Image Caption

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp