Adam menerima Anugerah Pelajar Terbaik SPM 2024 pada Majlis Apresiasi Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney yang disempurnakan Datuk Ibrisam Abdul Rahman. - Foto: Facebook Sekolah Henry Gurney Melaka
Adam menerima Anugerah Pelajar Terbaik SPM 2024 pada Majlis Apresiasi Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney yang disempurnakan Datuk Ibrisam Abdul Rahman. - Foto: Facebook Sekolah Henry Gurney Melaka

Sekolah Henry Gurney beri peluang kedua, Adam berazam jadi peguam syariah

23 May 2025 04:18pm

Menjalani kehidupan hampir tiga tahun di Sekolah Henry Gurney (SHG) Telok Mas, Melaka memberi peluang kepada seorang pelajar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut prospek yang mahu dikenali Adam, 19, peluang yang diberikan oleh SHG membuka lembaran baharu dalam hidupnya yang sebelum ini dihimpit pelbagai kekangan termasuk ketiadaan dokumen pengenalan diri akibat pendaftaran kelahiran lewat.

Dia yang menjalani tempoh pemulihan sejak 2022 dan pada peringkat awal mengalami tekanan dan bimbang kerana status kerakyatannya belum disahkan sekali gus menimbulkan ketidakpastian untuk menduduki SPM.

"Namun, pada tahun lepas, saya mengangkat sumpah dan sedang menunggu proses pengeluaran kad pengenalan selesai, selain berpeluang menduduki SPM dan amat bersyukur dengan keputusan yang diperoleh.

"Sebelum ini, saya memang sangat suka belajar namun menghadapi pelbagai kekangan di sekolah biasa kerana tiada kad pengenalan seperti yuran sekolah yang agak tinggi, di sini saya diberi peluang belajar dan menebus kesilapan," katanya.

Terdahulu, Adam menerima Anugerah Pelajar Terbaik SPM 2024 pada Majlis Apresiasi Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney yang disempurnakan oleh Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Ibrisam Abdul Rahman.

Adam yang dijadualkan dibebaskan Julai depan bertekad untuk mengubah masa depan dan berbakti kepada masyarakat selepas memperoleh keputusan cemerlang 6A dan berhasrat menyambung pengajian dalam bidang Undang-Undang, selain bercita-cita menjadi peguam syariah.

"Alhamdulillah, saya berjaya memperoleh A dalam SPM bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik, Sains, Sejarah, Tasawur Islam dan Pendidikan Islam daripada lapan subjek yang diambil.

Artikel Berkaitan:

"Masa percubaan saya gagal mata pelajaran Matematik, tetapi saya bangkit dan memperbaiki kelemahan. Bagi saya, tiada rahsia untuk berjaya selain kita fokus dan disiplin dalam menuntut ilmu," katanya.

Antara pengajaran paling bermakna yang diperoleh sepanjang berada di SHG ialah erti kesabaran apabila berdepan pelbagai ragam dan latar belakang penghuni lain.

Meskipun berdepan cabaran kesihatan, seperti demam dan migrain hampir setiap hari semasa tempoh persediaan, namun dia tetap berusaha memberi sepenuh tumpuan dalam pembelajaran dan menghafal rumus secara konsisten.

"Kini saya mahu membalas jasa makcik saya yang telah membesarkan saya sejak kecil. Beliau kini berusia 75 tahun dan banyak berkorban memberi saya makan, minum dan kasih sayang, setelah kehilangan ibu bapa sejak kecil," katanya.

Adam berharap remaja lain tidak mudah berputus asa serta mengambil peluang kedua yang diberikan untuk memperbaiki diri untuk mengubah kehidupan ke arah lebih baik. - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp