Fadhlina bergambar bersama orang ramai yang hadir pada Karnival Lestari Intervensi Awal Pusat Permata Kurnia di sebuah pusat beli-belah Kuala Lumpur pada Sabtu.
Fadhlina bergambar bersama orang ramai yang hadir pada Karnival Lestari Intervensi Awal Pusat Permata Kurnia di sebuah pusat beli-belah Kuala Lumpur pada Sabtu.

Serlahkan potensi, kebolehan kanak-kanak autisme - Fadhlina

19 Oct 2024 04:51pm

Karnival Lestari Intervensi Awal 2024 (KLIA'2024) diharap menjadi platform yang menghubungkan masyarakat dengan kaedah intervensi awal bagi menyerlahkan potensi dan kebolehan kanak-kanak autisme.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, program yang julung kali dianjurkan Pusat Permata Kurnia di bawah Bahagian Permata, Kementerian Pendidikan (KPM) itu bertujuan memastikan advokasi dapat diperluas dengan penglibatan orang ramai terutama ibu bapa dan komuniti.

"Saya harap program ini dapat dilaksanakan dari semasa ke semasa, khususnya untuk membina keyakinan, kepercayaan dan mengukuhkan lagi sisi pendidikan manusiawi serta pendidikan berkeperluan khas untuk anak-anak kita, khususnya di bawah KPM," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan KLIA'2024 di Pusat Beli Belah Alpha Angle, Wangsa Maju, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Peserta kanak-kanak dilihat mencuba aktiviti yang disediakan pada Karnival Lestari Intervensi Awal Pusat Permata Kurnia di sebuah pusat beli-belah.
Peserta kanak-kanak dilihat mencuba aktiviti yang disediakan pada Karnival Lestari Intervensi Awal Pusat Permata Kurnia di sebuah pusat beli-belah.

KLIA'2024 yang bertemakan 'Dunia Impian Saya' dan slogan 'Masyarakat Madani Memperkasakan Kelestarian Intervensi Awal' itu berlangsung dua hari bermula hari ini dari jam 10 pagi hingga 6 petang.

Program itu juga bagi memberikan gambaran positif kepada ibu bapa dan komuniti bahawa individu autisme juga boleh menyumbang kembali kepada masyarakat dengan kemahiran yang ada melalui bidang pekerjaan yang bakal diceburi.

Artikel Berkaitan:

Untuk sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari https://iautism.my/permata-kurnia.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat mengangkat kepentingan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) dengan mengumumkan pembinaan 11 Pusat Permata baharu bagi melengkapkan setiap negeri dengan pusat didikan anak-anak autistik termasuk di Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Selain itu, RM300 juta turut diperuntukkan bagi pembinaan dua sekolah pendidikan khas iaitu di Johor dan Sabah serta RM200 juta diperuntukkan untuk Elaun Murid Berkeperluan Khas (EMBK). - Bernama

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp