“Setiap malam mengigau seolah-olah dipukul” - bapa mangsa buli
Sejak kebelakangan ini, kejadian buli semakin meningkat dalam kalangan pelajar sekolah terutamanya yang tinggal di asrama.
Hampir setiap minggu kita dapat lihat sekurang-kurangnya satu video tular di laman media sosial memaparkan segelinitir pelajar yang bertindak membuli pelajar lain.
Apa yang lebih menyayat hati adalah perbuatan tersebut telah menyebabkan ramai pelajar mengalami kecederaan fizikal serius dan meninggalkan kesan trauma yang mendalam.
Kini, budaya membuli telah dianggap menjadi satu norma bagi pelajar-pelajar sekolah dan perkara ini sememangnya amat meruncingkan malah tidak sepatutnya berlaku di dalam institusi pendidikan.
Ini kerana ia bukan saja meninggalkan kesan dari segi fizikal tetapi juga turut memberi pengaruh negatif kepada aspek emosi dan mental pelajar yang menjadi mangsa buli.
Berkongsi mengenai kejadian buli ini, bapa kepada salah seorang mangsa yang buli di sekolah, Zaini Zam Wakimun meluahkan rasa kecewa terhadap insiden yang berlaku kepada anaknya.
“Kesan utama yang dialami adalah trauma sehinggakan takut untuk pergi ke sekolah, apatah lagi tinggal di asrama.
“Pada mulanya, anak saya selalu mengigau seolah-olah dipukul. Jika anda terkena sesuatu pada siang hari, kemungkinan ia akan dibawa sehingga waktu malam.
“Pergaulan sosialnya juga tidak seperti dulu, maksudnya dia perlu ditemani oleh saya kerana tidak berani untuk berdepan dengan kawan-kawan yang lebih tua usianya,” katanya pada sidang akhbar selepas perjumpaan bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, baru-baru ini.
Sehubungan dengan itu, Pertubuhan Aspirasi Wanita (ASWA) mendesak kerajaan supaya menggubal satu akta khusus berkaitan anti buli bagi menangani masalah itu di peringkat sekolah.
Menurut Presidennya, Wan Azliana Wan Adnan, sudah tiba masanya satu undang-undang mengenai buli diperkasakan kerana akta sedia ada tidak cukup untuk menangani gejala yang semakin membimbangkan itu.
"Kami mengadakan perjumpaan bersama Dr Mahathir bagi membincangkan isu kes buli yang semakin berleluasa dan beliau menyokong ASWA untuk mendesak akta anti buli ini diwujudkan.
"Kami membawa bersama memorandum untuk dikemukakan kepada beliau, memberitahu kes buli yang berlaku di Malaysia dan kesannya terhadap mangsa,” jelasnya.
Artikel berkaitan
Lagi kes buli melibatkan pelajar sekolah, pelajar cedera disebabkan rebut perempuan
Tingkatkan pemantauan dan keselamatan pelajar untuk membendung buli
Elak buli, ini 7 teknik pertahankan diri yang wajib pelajar ketahui
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok