41666072782_INISIATIFREADING
41666072782_INISIATIFREADING

“Silibus pembelajaran tidak boleh ditukar secara kerap” - Mohd Radzi

Adlan Farhan AzwanAdlan Farhan Azwan
18 Oct 2022 05:43pm

Silibus pembelajaran yang dibangunkan Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai kitaran dan tidak boleh diubah sesuka hati setiap tahun.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, penghasilan sesuatu silibus memerlukan proses kajian mendalam yang melibatkan banyak pakar dan guru berpengalaman serta berkebolehan.

Jelasnya, silibus hari ini telah digunakan sejak tahun 2017 dan melalui proses perbincangan sekian lama.

“Jika silibus ditukar secara kerap, cikgu-cikgu serta murid-murid akan menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan silibus baharu.

“Jadi apa yang berlaku selama penggunaan silibus ini, apabila selesai satu pusingan, maka penilaian akan dibuat untuk melihat keberkesanan silibus tersebut,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Inisiatif Reading Progress di Hotel Mardhiyyah, Shah Alam, Selangor, hari ini.

Mohd Radzi berkata demikian bagi menjawab persoalan mengenai isu silibus Matematik yang dibangkitkan seorang guru Matematik, Cikgu Mohd Fadli Mohamed Salleh di media sosial yang didakwa terlalu tinggi dan tidak selaras dengan kemampuan murid untuk memahami dan menguasainya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan sekiranya seseorang murid masuk Tahun Satu dengan silibus tersebut, mereka akan menghabiskan Tahun 6 dengan pendekatan silibus sama.

“KPM tidak pernah menutup ruang kepada guru untuk memberikan sebarang pandangan malah saya sendiri turun padang bertemu guru bagi menyelesaikan sesuatu isu termasuk isu beg berat dalam kalangan murid.

“Banyak transformasi telah dibuat di pihak kementerian hasil daripada perbincangan dan maklum balas daripada guru dan pihak yang terlibat,” tambah beliau.

Sebelum itu, Mohd Radzi telah melancarkan program rintis Inisiatif Reading Progress bagi membantu murid-murid meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.

Beliau berkata, Inisiatif Reading Progress itu merupakan salah satu aplikasi yang terdapat dalam Microsoft Teams yang digunakan KPM dalam pembelajaran dan pengajaran (PdP) di sekolah-sekolah seluruh negara.

“Aplikasi berkenaan akan digunakan dalam proses PdP khususnya untuk membantu murid-murid menguasai sebutan perkataan dalam bahasa Inggeris dengan baik,” ujarnya.

Artikel berkaitan

Pembinaan sekolah baharu ambil kira aspek reka bentuk kondusif - Radzi

Bajet 2023: KPM terima peruntukan terbesar berjumlah RM55.6 bilion

Mohd Radzi mahu jumpa Cikgu Mohd Fadli


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp