1409604
1409604

Tebar roti canai 60 keping sehari, murid Tahun 1 SK Seri Tunjong banggakan keluarga!

webadminwebadmin
10 Jan 2022 05:13pm

Kesungguhan dan kerajinan murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tunjong, Kangar, Perlis, Yusra Asna Ruslin dalam membantu ibu bapa di gerai roti canai telah mendapat perhatian pelbagai pihak selepas tular di media sosial, baru-baru ini.

Dia bukan sahaja rajin dan sanggup bangun seawal jam 4 pagi sepanjang cuti persekolahan yang lalu, tetapi kepandaian dan bakat dalam menebar roti canai itu adalah antara faktor utama murid ini tular.

Menurut Yusra Asna, dia belajar menebar roti canai daripada ibu bapanya, Ruslin Meli, 45, dan Yuwita Shuib, 35, kira-kira tiga bulan lalu.

Katanya, dia kini sudah mampu menebar antara 50 hingga 60 keping roti canai sehari.

“Saya memang minat tebar roti canai sebab selalu lihat ayah dan mak buat roti canai di kedai makan kami.

“Sebab itu saya belajar daripada mereka dan akhirnya mampu menebar puluhan roti canai sehari,” katanya yang memasang impian membuka restoran makanan apabila dewasa kelak.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, proses menebar roti canai agak sukar, tetapi lama-kelamaan ia menjadi mudah.

“Ia ada beberapa peringkat dalam proses menebar roti canai ini. Saya ikut satu persatu apa yang diajar oleh ayah dan ibu, akhirnya saya dapat buat,” ujarnya.

Sementara itu, bapanya, Ruslin berkata, Yusra Asna merupakan seorang anak perempuan yang suka belajar dan mudah faham dengan apa yang diajar.

“Di awal-awal dulu, banyak juga roti canai yang rosak, namun lama kelamaan Yusra Asna mampu menebar dengan sempurna,” jelasnya.

Kedai makan keluarga Yusra Asna dibuka seawal pukul 5.30 sehingga 11 pagi dan dikunjungi orang ramai lebih daripada biasa sejak Jumaat lalu selepas video Yusna Asna menebar roti canai dikongsi dalam Facebooknya tular.

Selain masyarakat setempat, guru sekolah dan rakan-rakan Yusra Asna juga tidak ketinggalan datang menikmati roti canai dan memberi sokongan kepada murid berkenaan.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man yang turut singgah di kedai makan tersebut bagi menikmati roti canai yang ditebar Yusra Asna berkata, Yusra Asna mampu menjadi usahawan yang berjaya dalam bidang makanan.

“Dengan pendedahan dalam dunia perniagaan oleh ibu bapanya sejak dari kecil lagi, saya yakin bahawa dia akan berjaya dalam bidang yang diminatinya itu,” katanya.

Artikel berkaitan

Bangga menjadi generasi ketiga, Marsyar Maisyurah tidak kekok teruskan legasi keluarga

(VIDEO) Pelajar jadi buruh simen sejak sekolah rendah, bantu ibu bapa cari rezeki

(VIDEO) Guru bantu murid susah, hadiahkan barangan elektrik dapat perhatian warganet


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp