Tersenarai antara 50 calon seluruh dunia, Alesyah buat rakyat Malaysia gembira dan bangga!
Pelajar jurusan teknologi pembinaan Kolej Vokasional (KV) Keningau, Sabah, Alesyah Asa, 20, mengharumkan nama Malaysia di mata dunia apabila terpilih sebagai salah seorang finalis daripada 50 calon seluruh dunia bagi anugerah Global Student Prize tahun 2022.
Anak jati kelahiran Nabawan, Keningau itu merupakan satu-satunya pelajar dari Sabah yang berjaya melayakkan diri untuk Global Student Prize tahun 2022 anjuran Chegg.org yang berpusat di Amerika Syarikat dan menawarkan hadiah berjumlah US$ 100,000.00 (RM445,000) kepada juara.
Global Student Prize tahun 2022 menerima lebih dari 7000 pencalonan dari 150 buah negara dan hanya 50 yang terbaik disenarai pendek untuk anugerah paling berprestij di dunia itu.
Sebagai calon tunggal dari Malaysia, pemilihan Alesyah adalah berdasarkan pencapaian dan sumbangannya dalam bidang inovasi, bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), program pertukaran budaya dan hackathon.
Antaranya, pelajar ini pernah meraih pingat perak pada pertandingan inovasi PRINT- KAB, Selangor 2019; Ketua rombongan pelajar ke program pertukaran pelajar di sekolah-sekolah di Seoul pada 2019; Juara Global Media and Information Literacy Youth Hackathon anjuran UNESCO dan Korea Selatan (5 hingga 27 Oktober 2020); Penerima pertama geran berjumlah lebih RM4000 dari STEAM Chapter of The Awesome Foundation, 27 Oktober 2020, The USA dan pembentang projek inovasi pada persidangan International Euroasia Congress on Scientific Researches and Recent Trends, 18 hingga 20 Februari 2022 serta banyak lagi.
Sementara itu, Pengarah KV Keningau, Johari @ Jaibet Sabin berkata, pencapaian Alesyah merupakan kebanggaan Malaysia dan ia membuktikan kualiti pendidikan negara khususnya pendidikan KV yang melahirkan pelajar-pelajar yang kompeten, kreatif dan berkarisma.
“Saya berharap agar kejayaan ini memberi ilham kepada pelajar-pelajar lain untuk merebut peluang yang ada dan mengasah bakat dan kemahiran mereka dalam bidang yang diminati,” katanya.
Dalam pada itu, Alesyah turut menyatakan hasratnya sekiranya dia memenangi anugerah tersebut, dia akan memperkembangkan initiative STEM yang melibatkan robotik, dron dan pencetakan 3D ke sekolah-sekolah lain khususnya di Sabah.
“Saya juga ingin membantu membina pusat inovasi di kolej itu untuk membantu para pelajar dan guru membangunkan projek mereka dan mungkin ia juga akan berfungsi sebagai ruang pameran dan pembentangan sebarang projek inovasi,” jelasnya.
Artikel berkaitan
Inilah anak-anak Malaysia yang genius! Hadiahkan 6 anugerah untuk negara. Luar biasa
Pasukan debat UPM bawa pulang gelaran juara dan pendebat terbaik. Apa rahsia mereka?
Hadiri konvokesyen berbaju Melayu, graduan Harvard bangga jadi anak Malaysia