Mohammad Yusof
Mohammad Yusof

Tiada aduan penjualan sijil di IPTS - Mohammad Yusof

ROSHLAWATY MD RAIEH
26 May 2023 05:53pm
A
A
A

“Sehingga kini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak pernah menerima kes aduan penjualan sijil ijazah, sarjana dan doktor falsafah (PhD) yang melibatkan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di negara ini.”

Demikian kata Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Khamis.

Menurut beliau, pihaknya memandang serius sebarang isu membabitkan integriti dan pengiktirafan IPTS.

“Bagi kes penjualan sijil di IPTS, kami bertindak berdasarkan aduan yang diterima terus oleh KPT atau melalui saluran aduan dalam talian menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPA).

“Di pihak IPTS pula, mereka juga boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat aduan berkaitan atau mengetahui kes penjualan sijil yang melibatkan institusinya,” ujar beliau.

Mohammad Yusof berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Rasol Wahid (Hulu Terengganu) yang meminta menyatakan apakah kaedah diguna pakai oleh kementerian untuk mengawal dan membendung lambakan sijil akademik khususnya ijazah, sarjana dan PhD.

Sementara itu, beberapa tindakan akan diambil sekiranya terdapat aduan berhubung penjualan sijil tersebut.

"Tindakan ke atas aduan seumpama ini boleh diambil berdasarkan Seksyen 76 dan Seksyen 77 Akta IPTS 1996 (Akta 555) di mana jika disabitkan kesalahan individu atau institut yang didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM200,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Mohammad Yusof berkata, KPT sentiasa proaktif mempromosi dan menjenamakan pendidikan negara untuk meningkatkan kemasukan pelajar antarabangsa ke Malaysia.

Tambahnya, kemasukan pelajar antarabangsa boleh menjadi salah satu bukti dan pengiktirafan terhadap kualiti dan kredibiliti sektor pendidikan tinggi negara ini.

"Dalam hal ini, KPT memantau dan bekerjasama rapat dengan agensi di bawahnya, Education Malaysia Global Services (EMGS) dalam perkara-perkara berkaitan kemasukan pelajar antarabangsa.

"Berdasarkan Pelan Tindakan Pendidikan Tinggi Malaysia (PTPTM) 2022-2025, peningkatan bilangan mobiliti pelajar antarabangsa disasarkan kepada 250,000 pelajar menjelang tahun 2025.

“Bagaimanapun, sasaran ini sentiasa dikemas kini dan disesuaikan mengikut keperluan dan perkembangan semasa," ujarnya.

Jelasnya lagi, terdapat insentif baharu yang diperkenalkan oleh kementerian untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa dan seterusnya menjadikan Malaysia sebagai Hub Pendidikan Serantau, antaranya Pemerkasaan Program Pengantarabangsaan

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok