Fadhlina (kiri) beramah mesra dengan murid-murid SK Sungai Bakap yang hadir pada majlis peluncuran Sekolah Pengajar Program Sahabat Bahasa Institut Pendidikan Guru Malaysia pada Khamis.
Fadhlina (kiri) beramah mesra dengan murid-murid SK Sungai Bakap yang hadir pada majlis peluncuran Sekolah Pengajar Program Sahabat Bahasa Institut Pendidikan Guru Malaysia pada Khamis.

Tiada sekolah terkecuali garis panduan DLP - Fadhlina

MOHD ISKANDAR OTHMANMOHD ISKANDAR OTHMAN
21 Jun 2024 11:51am
A
A
A

Tiada sekolah yang terkecuali dalam melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) bagi subjek Sains dan Matematik menggunakan Bahasa Melayu.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, semua sekolah termasuk Sekolah Berasrama Penuh perlu mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan berhubung pelaksanaan program berkenaan.

Menurutnya, pelaksanaan DLP mesti mematuhi dasar ‘Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI)’ serta berusaha mencapai matlamat negara tanpa mengabaikan hak pelajar untuk belajar Matematik dan Sains dalam Bahasa Melayu atau bahasa ibunda mereka di sekolah vernakular.

“Kita pertegaskan, (sekolah) kena pakai dan rujuk garis panduan malah tidak ada sebarang masalah timbul setakat ini.

“Mana-mana sekolah yang ada masalah dengan pelaksanaan garis panduan itu, kita akan turun dan bantu sekolah tersebut untuk melaksanakannya," katanya ketika ditemui pemberita pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim yang menyatakan sekolah elit seperti Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Kolej Tunku Kurshiah dikecualikan daripada peraturan baharu DLP.

Sebelum itu, Fadhlina menghadiri majlis peluncuran Sekolah Pengajar Program Sahabat Bahasa Institut Pendidikan Guru Malaysia di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap, Sungai Jawi, Pulau Pinang.

"Antara intipati program terbabit adalah dengan menubuhkan Pasukan Khas Reformasi Pendidikan dengan memperkenalkan Sahabat Bahasa untuk membudayakan dan menyemarakkan pelaksanaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris secara komprehensif.

“Inisiatif ini dilaksanakan di bahagian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan institusi pendidikan terdiri sekolah IPG, Kolej Matrikulasi dan Kolej Vokasional,” katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok