Alimuddin
Alimuddin

Tidak minat sains tulen cetus kebimbangan

24 Apr 2024 02:00pm
A
A
A

Kurangnya minat pelajar sekolah terhadap aliran sains tulen pada masa ini, menimbulkan kebimbangan ramai pihak.

Ia kerana, impak daripada kekurangan minat mereka secara tidak langsung memberi kesan kepada institusi pengajian tinggi (IPT) kelak dalam mendapatkan golongan mahasiswa mengikuti fakulti tertentu berkaitan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

Antara fakulti tersebut adalah sains, perubatan, kejuruteraan, farmasi dan ekonomi.

Menurut bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, kekurangan pelajar aliran sains tulen di sekolah, pastinya akan menjejaskan usaha negara untuk melahirkan lebih ramai golongan profesional selepas ini.

"Atas sebab itu, usaha meneruskan dasar 60:40 iaitu 60 peratus pelajar aliran sains di sekolah perlu diteruskan.

“Setiap sekolah menengah mesti mempunyai strategi, program dan aktiviti ke arah itu serta memastikan bilangan pelajar aliran sains di sekolah meningkat setiap tahun,” ujarnya seperti dipetik dalam portal tempatan.

Sementara itu, beliau turut mencadangkan agar hubungan lebih erat perlu dijalinkan antara pihak sekolah dengan kolej dan universiti bagi menarik minat pelajar terhadap STEM.

Malah katanya, para pensyarah boleh mengadakan aktiviti dengan pelajar di sekolah terutama dalam memberikan motivasi dan galakan, selain mewujudkan jalinan sebagai sekolah angkat seperti mengadakan lawatan ke kampus dan fakulti berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Alimuddin turut menambah, guru Sains dan Matematik perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran mereka dalam meningkatkan minat pelajar terhadap subjek STEM termasuklah peranan ibu bapa dalam memberi galakan dan dorongan kepada anak masing-masing.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok